Selasa, 10 Disember 2019 | 5:51pm
NAIB Presiden PKR, Rafizi Ramli. - Foto Syarafiq Abd Samad
NAIB Presiden PKR, Rafizi Ramli. - Foto Syarafiq Abd Samad

Rafizi bersara daripada politik

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, mengumumkan beliau tidak akan kembali ke arena politik kerana mahu memberi tumpuan kepada usaha mendalami ilmu pengetahuan berkaitan teknologi terkini.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, sudah sampai masanya mempelajari kehidupan baharu kerana proses pembelajaran itu akan menjadikan dirinya seorang insan lebih baik.

“Saya nyatakan dengan jelas saya tidak akan kembali dalam bidang politik. Saya berada dalam fasa kehidupan perlu belajar.

“Hanya dengan belajar kita akan jadi lebih baik dan menyumbang lebih baik. Buat masa ini, saya teruja memberi tumpuan kepada AI (kepintaran buatan), pembelajaran mesin dan IoT (Internet of Things),” kata Rafizi dalam ciapannya menerusi Twitternya di sini, hari ini.

Ciapan terbaru Rafizi berkenaan juga seolah-olah menggambarkan beliau akan ‘bersara’ dalam dunia politik dan merancang menceburi bidang berkaitan AI dan IoT serta pembelajaran mesin.

Pada 15 November lalu, selepas dibebaskan daripada hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan mendedahkan data bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC), Rafizi menyatakan beliau tidak berniat kembali aktif dalam politik pada masa terdekat ini.

Sebelum ini, ketika ditemui wartawan di luar Mahkamah Tinggi, Shah Alam, Rafizi dilaporkan berkata, beliau mahu terus menjadi ‘orang biasa’ dan menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga serta rakannya.

“Saya rasa masa Pakatan Harapan (PH) berkuasa adalah zaman saya kembali jadi orang biasa, cari makan macam orang biasa,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X