Jumaat, 15 Mei 2020 | 6:52pm
ADUN PN ketika majlis menghadap Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, pagi tadi. - NSTP/Ihsan Pembaca
ADUN PN ketika majlis menghadap Sultan Kedah di Wisma Darul Aman, pagi tadi. - NSTP/Ihsan Pembaca

Angkat sumpah MB baharu Kedah pada Ahad?

ALOR SETAR: Majlis angkat sumpah Menteri Besar Kedah ke-14 dijangka berlangsung, Ahad ini, selepas kesemua 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selesai menghadap Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Hari ini, majlis menghadap baginda berlangsung dalam dua sesi, iaitu bermula 10 pagi membabitkan 21 ADUN Perikatan Nasional (PN) dan dua lagi Bebas, iaitu ADUN Lunas, Azman Nasrudin, serta ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee.

Pada jam 3 petang, 12 ADUN Pakatan Harapan (PH) masuk menghadap Sultan Kedah, disusuli Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang terakhir menghadap pada jam 4.30 petang.

Mukhriz yang dilihat meninggalkan Wisma Darul Aman pada jam 5 petang tadi, hanya tersenyum dan melambai ke arah kumpulan wartawan yang menunggu bagi mendapatkan reaksinya.

ADUN Bakar Arang daripada PKR, Ooi Tze Min, ketika ditanya hasil pertemuan itu hanya memaklumkan majlis menghadap berjalan lancar, tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Mukhriz dijangka membuat pengumuman rasmi mengenai kedudukan kerajaan negeri dan jawatannya pada sidang media, esok.

Sementara itu, sumber memaklumkan, PN Kedah semakin hampir membentuk kerajaan negeri baharu menggantikan PH selepas 23 ADUN menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Mukhriz.

"Semua seperti dirancangkan, 23 ADUN terbabit selesai menghadap dan keputusan kini pada Tuanku Sultan bagi menentukannya.

"Jika mengikut Akuan Bersumpah (SD), PN sudah membentuk kerajaan dan kita ada keyakinan... apa-apa bergantung pada Tuanku, ketika ini," katanya ketika dihubungi.

Beliau memaklumkan, mengikut jadual, majlis angkat sumpah Menteri Besar Kedah ke-14 dijangka berlangsung di Wisma Darul Aman, Ahad ini, sebelum angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) diadakan.

"Majlis angkat sumpah (Menteri Besar) akan diadakan lusa (Ahad) di Wisma Darul Aman," katanya.

Difahamkan, berdasarkan nama diserahkan oleh Presiden gabungan parti PN, ADUN Jeneri daripada PAS, Muhammad Sanusi Md Nor, dijangka dilantik sebagai Menteri Besar baharu menggantikan Mukhriz.

Selasa lalu, PN Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 ADUN, termasuk daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Berikutan itu, komposisi DUN Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, manakala PKR (lima), AMANAH (empat), BERSATU-Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), BERSATU-Tun Dr Mahathir Mohamad (dua), UMNO (dua) dan Bebas (dua).

Berita Harian X