X
Jumaat, 15 Mei 2020 | 8:19pm
Datuk Seri Amirudin Shari. Foto fail Faiz Anuar
Datuk Seri Amirudin Shari. Foto fail Faiz Anuar

'Mereka buat cerita PH goyah hanya mimpi siang hari'

SHAH ALAM: Keputusan berhubung kedudukan Haniza Mohamed Talha sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha akan ditentukan selepas proses siasatan oleh Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) selesai.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata proses bagi menggantikan EXCO berkenaan bukan mudah dan pihaknya perlu mendapat pengesahan laporan disiplin membabitkan Haniza terlebih dahulu.

"Beliau masih dalam proses tindakan disiplin dan soal siasat dan penggantungan itu dilakukan untuk menyelesaikan perkara itu (siasatan serta laporan disiplin).

"Penggantungan atau tidak, kena tunggu siasatan selesai," katanya pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor hari ini.

Sebelum ini, PKR mengambil keputusan untuk menggantung Haniza yang juga Ketua Wanita PKR; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin; Setiausaha PKR Selangor, Mohd Radzlan Jalaludin dan Ketua Cabang Kudat, Rahimah Majid.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa kedudukan Pakatan Harapan (PH) di Selangor dikatakan goyah selepas kononnya terdapat ADUN yang menyokong bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Amirudin berkata, perkara itu hanya propaganda murahan yang cuba menggoncang kredibiliti kerajaan negeri.

"Mereka yang buat cerita itu (kononnya PH goyah) hanya bermimpi di siang hari.

"Saya yakin dengan sikap ADUN kita yang tegas malah mereka terus komited kepada dasar serta kerajaan PH di Selangor. Saya anggap itu hanya propaganda murahan," katanya.

Berita Harian X