Ahad, 17 Mei 2020 | 11:34pm
Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto NSTP
Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto NSTP

Anwar tempelak Ketua Srikandi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir pengumuman EXCO Majlis Pimpinan Wanita PKR, Nurainie Haziqah Shafii yang meletakkan jawatan dan keluar daripada parti itu, hari ini.

Presiden PKR itu dilihat mempersoal peletakan jawatan Nurainie Haziqah yang juga Ketua Srikandi PKR, walaupun tanpa menyebut sebarang nama dengan jelas.

"Ini saya ingatkan rakan dan anak dalam PKR serta rakan dalam Pakatan Harapan (PH), jangan kita korbankan idealisme dan prinsip untuk menjaga dan meraih kuasa.

"Ada orang hari ini, dia nak tinggalkan PKR kerana idealisme. Untuk apa? Dia pilih siapa? Dia pilih kelompok rasuah. Anak muda harus faham bahawa kita perlu melihat keperluan menegakkan hukum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah 'Hidupkan Harapan Rakyat' yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook, malam ini.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Bakri, Yeoh Bee Yin yang dijadual berucap pada ceramah sama bagaimapun gagal berbuat demikian, selepas ada gangguan teknikal dan siaran langsung itu ditamatkan selepas ucapan Anwar.

Terdahulu, Nurainie mengumumkan meletakkan jawatan dan keluar daripada PKR, selain melepaskan jawatannya sebagai Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), selepas hilang keyakinan terhadap parti itu.

Berita berkaitan:

  • Ketua Srikandi keluar PKR
  • Berita Harian X