X
Isnin, 18 Mei 2020 | 10:16pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Pembangkang main peranan semak dan imbang

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang akan memainkan peranan semak dan imbang demi memastikan dasar yang penting diusahakan sebaik mungkin pada masa depan.

Dasar itu merangkumi Wawasan Kemakmuran Bersama, pelan anti-rasuah, pembangunan prasarana kritikal terutama di Sabah dan Sarawak, isu kemiskinan dan jurang ekonomi antara wilayah diusahakan.

Itu antara komitmen yang dizahirkan menerusi satu kenyataan bersama membabitkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Shafie Apdal dan Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau semalam.

Menurut kenyataan itu, komitmen itu bagi menyanjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang khuatir dengan budaya rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa kerana mampu merencat pembangunan serta merosak imej negara pada peringkat antarabangsa.

"Ahli-Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan, BERSATU, Warisan dan UPKO hari ini menjunjung setinggi-tinggi kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong yang berkenan bercemar duli menyampaikan Titah Diraja kepada Majlis Parlimen pagi ini.

"Mengikuti keseluruhan titah Tuanku, pelbagai isu dan perkara disentuh namun ia berkisar di atas paksi-paksi yang sama iaitu pembelaan nasib rakyat, keperluan politik matang, bersih dan bebas rasuah, serta rasa kasih dan hormat terhadap agama dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

"Seperti kes yang membabitkan Riza Aziz di mana keputusan untuk membebaskannya akan memperlihatkan bahawa kita tidak serius menangani gejala itu. Kes ini menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa," menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan bersama itu, pemimpin tertinggi parti pembangkang juga berharap isu pandemik COVID-19, terutamanya berkaitan dengan pakej rangsangan dapat diberi tumpuan khusus.

Hal ini kerana, terdapat banyak laporan berlakunya ketirisan dan ini menyebabkan bantuan berkenaan tidak sampai kepada golongan sasar.

Sehubungan itu, menurut pemimpin tertinggi pembangkang, perkara sedemikian amat merisaukan kerana itu membabitkan golongan yang amat memerlukan bantuan pada ketika ini dan merasakan ia perlu dibahaskan seberapa segera.

"Kami turut menerima baik peringatan Tuanku bahawa perbezaan pendapat tidak harus diakhiri dengan caci mencaci, serta keperluan menangani isu polarisasi kaum dan membendung segala bentuk provokasi dan fahaman serta nilai yang bertentangan dengan norma, adat dan undang-undang," menurut kenyataan itu.

Berita Harian X