Ahad, 2 Ogos 2020 | 3:39pm
Pensyarah geostrategi UTM, Prof Madya Dr Azmi Hassan. Foto NSTP
Pensyarah geostrategi UTM, Prof Madya Dr Azmi Hassan. Foto NSTP

Keputusan PRU-14, kekuatan jentera parti penentu pilih calon di Sabah

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah perlu membuktikan kekuatan masing-masing bagi melayakkan mereka bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Penganalisis berpendapat, kriteria kekuatan yang perlu diberi penilaian adalah sokongan diraih dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu serta keupayaan cawangan yang akan menggerakkan jentera pilihan raya di peringkat akar umbi.

Pensyarah geostrategi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan, berkata hanya satu cara untuk memberi tentangan kuat kepada Parti Warisan Sabah (WARISAN) adalah menerusi pertembungan satu lawan satu.

"Kita lihat fakta paling mudah ialah keputusan PRU-14 atau status jentera pilihan raya parti. Dalam hal ini, ternyata UMNO berada di hadapan.

"Ia lebih kuat kedudukannya dan besar kemungkinan juga jika dua faktor ini digunakan, maka jumlah calon UMNO bertanding mungkin mengatasi BERSATU," katanya kepada BH, hari ini.

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa hari dilaporkan berkata, rundingan antara BN dan BERSATU Sabah perlu dilakukan dengan parti yang lebih kuat perlu diberi laluan untuk bertanding di kerusi diyakini menang.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, kedua-dua parti dilihat sukar untuk mencapai persetujuan ketika ini kerana masing-masing mendakwa memiliki kekuatan di Sabah.

"Tetapi andaian kekuatan jika diasaskan kepada fakta seperti sokongan di kawasan dan keputusan PRU-14, maka kata sepakat mampu dicapai," katanya.

Mengulas kempen 'Sabah untuk Sabah' oleh WARISAN, Azmi berkata, perkara itu tidak menjadi isu besar kepada UMNO kerana parti itu sudah memberi autonomi kepada UMNO Sabah bagi menghadapi PRN termasuk aspek pemilihan calon.

"Begitu juga apabila BERSATU Sabah keluar kenyataan bertanding 45 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), seolah kenyataan itu tidak dirujuk dengan BERSATU pusat.

"Motifnya mudah, untuk menggambarkan kebebasan BERSATU Sabah. Tapi hakikatnya, jika moto 'Sabah untuk Sabah' digunakan, WARISAN mempunyai kelebihan," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata, keputusan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan parti itu mahu bertanding di 45 kerusi DUN menimbulkan rasa tidak puas hati akar umbi UMNO.

"Ini menyebabkan akar umbi UMNO berasa tak puas hati, marah dan protes. Ini belum lagi ketika penamaan calon, sudah pasti ramai marah atau tak puas hati apabila tidak dicalonkan akibat perebutan kerusi.

"Pertandingan tiga penjuru besar kemungkinan tidak dapat dielakkan dan dijangka akan banyak berlaku nanti jika gagal ditangani sepenuhnya oleh UMNO dan BERSATU," katanya.

Beliau berkata, BERSATU Sabah pasti akan memanfaatkan kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri serta Presiden BERSATU untuk mendapatkan ruang bertanding di termasuk di beberapa kerusi baharu.

Berita Harian X