Ahad, 2 Ogos 2020 | 5:23pm
Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah, Datuk Loretto Padua. - Foto NSTP
Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah, Datuk Loretto Padua. - Foto NSTP

PRN Sabah: WARISAN bincang soal calon minggu depan

KUALA LUMPUR: Parti Warisan Sabah (WARISAN) akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi memperincikan persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk berkaitan calon yang akan bertanding.

Setiausaha Agungnya, Datuk Loretto Padua, berkata semua perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan yang dijadual dipengerusikan sendiri Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Ya, minggu depan kita akan mesyuarat," katanya ringkas tanpa mengulas pertanyaan mengenai bila WARISAN akan memutuskan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi parti itu dalam PRN kali ini.

Ditanya sama ada WARISAN sudah menyenarai pendek calon dan kawasan mana yang akan ditandingi, beliau berkata, "Saya tidak boleh maklumkan, biarlah presiden yang umumkan nanti".

Beliau juga enggan mengulas sama ada PKR dan DAP akan membentuk gabungan bersama WARISAN, untuk berdepan Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam PRN Sabah.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu, BN dipimpin Tan Sri Musa Aman menang di 29 kerusi DUN, sementara WARISAN pimpinan Shafie, termasuk DAP dan PKR juga mendapat jumlah sama, iaitu 29 kerusi.

Dua kerusi lagi dimenangi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pimpinan Datuk Dr Jeffrey G Kitingan, menyebabkan kerajaan negeri pimpinan Musa hanya bertahan beberapa hari sebelum diambil alih Shafie.

Semalam, Ketua PKR Sabah, Datuk Christina Liew memaklumkan akan memuktamadkan senarai calon yang bakal bertanding dalam PRN itu, selewat-lewatnya minggu depan.

Berita Harian X