Khamis, 14 Jun 2018 | 1:49pm
GAJAH dirakam melintas jalan raya dipercayai di kawasan berhampiran Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) Kampung Sukau, Kinabatangan. - Foto ihsan pembaca
GAJAH dirakam melintas jalan raya dipercayai di kawasan berhampiran Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) Kampung Sukau, Kinabatangan. - Foto ihsan pembaca

Kehadiran gajah di Sukau perkara biasa

KINABATANGAN: Kehadiran gajah di Sukau dekat sini yang dirakam melintas jalan raya baru-baru ini adalah aktiviti biasa haiwan berkenaan di kawasan itu.

Pegawai Penguasa Jabatan Hidupan Liar Kinabatangan, Jimli Perijin, berkata kehadiran gajah di sekitar kawasan terbabit direkodkan berlaku tiga hingga empat kali setahun dan bergerak dalam lokasi berlainan.

Katanya, lokasi gajah dirakam melintas jalan raya baru-baru ini bukanlah laluan tetap haiwan berkenaan, sebaliknya berubah-ubah mengikut kehendak haiwan itu.

"Gajah melintas jalan raya adalah aktiviti biasa untuk gajah tunggal itu.

"Ia bukan laluan tetap gajah. Haiwan itu bergerak dari satu tempat ke tempat lain mengikut kehendak mereka," katanya ketika dihubungi NSTP di sini.

Semalam, tular di Facebook gambar seekor gajah melintas jalan raya, dipercayai di kawasan berhampiran Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) Kampung Sukau, dekat sini.

Jimli berkata, pelantikan Warden Kehormat Hidupan Liar (mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997) di kampung itu membantu pihaknya melakukan pemantauan terhadap kehadiran dan pergerakan gajah di kawasan berkenaan.

"Kita sudah minta kerjasama warden yang ada di kampung itu bagi membuat pemantauan dan setakat ini, tiada laporan gajah masih berada di sekitar kawasan itu. Mungkin sudah bergerak ke tempat lain," katanya.

Berita Harian X