Ahad, 2 September 2018 | 1:50pm
Pelukis karikatur Orang Kurang Upaya (OKU), Jekaril Jinggom bersama sebahagian hasil karyanya. - Foto Malai Rosmah Tuah

Guna bahasa isyarat, WhatsApp tawar khidmat lukis karikatur

KOTA KINABALU: Halangan komunikasi dihadapi seorang orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu tidak menjejaskan usahanya untuk mencari rezeki dengan menawarkan kebolehan melukis karikatur kepada orang ramai.

Walaupun terpaksa menggunakan bahasa isyarat dan komunikasi bertulis, Jekaril Jinggom, 37, yang berasal dari Kampung Padawan, Papar, kini boleh berbangga khidmatnya sebagai pelukis karikatur mendapat perhatian masyarakat.

Lebih menarik, beliau yang menawarkan khidmat melukis karikatur di Kompleks Star City, di sini, turut memanfaatkan kecanggihan teknologi telefon pintar untuk berkomunikasi dengan pelanggan menerusi aplikasi sosial seperti WhatsApp.

Inisiatif itu membolehkan Jekaril berkomunikasi dengan lebih baik terutama dengan pelanggan yang mendapatkan khidmat melukis karikatur atau potret mereka.

Ketika ditemui NSTP, beliau mengakui ramai yang tidak menyedari beliau adalah seorang OKU pekak dan bisu kerana berkomunikasi secara biasa dengannya terutama pelanggan kali pertama yang ingin mendapatkan khidmatnya.

"Bagi pelanggan yang baru mengenali saya, mereka pastinya akan bercakap seperti biasa namun saya akan menyatakan mengenai halangan dihadapi kepada pelanggan.

"Satu kelebihan sekiranya pelanggan pandai berbahasa isyarat tetapi selalunya saya akan menggunakan komunikasi secara bertulis supaya lebih memudahkan sebarang perbincangan berkaitan lukisan," katanya dalam komunikasi secara bertulis dengan NSTP.

Bercerita lanjut mengenai kerjaya seninya, Jekaril berkata, dia lebih memilih karya karikatur berbanding jenis lukisan lain kerana lukisan seumpama itu lebih mudah mendapat sambutan dalam kalangan penggemar lukisan khususnya pelancong asing.

"Mungkin ramai beranggapan lukisan karikatur adalah hasil seni yang mudah untuk dihasilkan tetapi hakikatnya ia memerlukan ketelitian seseorang pelukis sepanjang proses penghasilan. Kita perlu menampakkan subjek yang dilukis itu hidup seperti objek sebenar," katanya.

Bagaimanapun, bapa kepada seorang cahaya mata lelaki itu berkata selain melukis karikatur, dia turut mengambil upah membuat lukisan mural, lakaran wajah dan potret.

Jekaril berkata, melukis mural memberikan pulangan lebih lumayan namun ia memakan masa yang lama untuk disiapkan.

"Hampir setiap hari saya akan berada di sebuah kafe di pusat beli-belah Star City untuk melukis karikatur.

"Sekiranya ada permintaan melukis mural, saya akan menghabiskan masa di tempat berkenaan terlebih dahulu sehingga semua kerja selesai," katanya.

Jekaril berkata, dia hanya mengenakan bayaran serendah RM10 untuk melukis `karikatur hidup' berwarna hitam putih, manakala RM20 bagi berwarna penuh untuk setiap lukisan.

Katanya, lakaran wajah ditawarkan dengan harga RM30 dan RM150 hingga RM250 mengikut jenis warna bagi potret, manakala perkhidmatan melukis mural antara RM800 hingga RM1,500.

Berita Harian X