Jumaat, 21 Disember 2018 | 9:53am
Tinjauan di jeti Jesselton Point, Kota Kinabalu yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar untuk memulakan perjalanan ke beberapa pulau sekitar Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Pelancong kurang, operator pelancongan mengeluh

KOTA KINABALU: “Dua tahun lalu, kami boleh dapat sehingga 180 orang sehari untuk dibawa ke pulau sekitar perairan Kota Kinabalu, namun musim cuti sekolah kali ini cuma terima tempahan sekitar 60 orang dalam sehari”.

Demikian luah operator pelancongan di Jeti Jesselton Point di sini, Muzli Amin, 31, mengenai situasi kekurangan pelancong yang mengambil perkhidmatan untuk melawat serta menjalankan aktiviti di pulau-pulau di kawasan Taman-Taman Sabah di sini.

Tinjauan di Jeti Jesselton Point mendapati, kaunter tiket di 17 kaunter masih berjalan seperti biasa dengan menawarkan pelancong tempatan mahupun luar negara pakej melawat pulau berhampiran menggunakan perkhidmatan bot.

Antara pulau di sekitar perairan ini ialah Pulau Gaya, Sapi, Manukan, Mamutik dan Sulug.

Bagaimanapun, bilangan pelancong membeli tiket untuk pergi ke pulau mengalami banyak penurunan walaupun sepanjang cuti hujung tahun.


Tinjauan di jeti Jesselton Point, Kota Kinabalu yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar untuk memulakan perjalanan ke beberapa pulau sekitar Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

Muzli berkata, walaupun ketika ini musim cuti persekolahan, jumlah pelancong yang membeli tiket untuk melawat beberapa pulau di kawasan Taman-Taman Sabah tidak ramai, iaitu sekitar 60 orang sehari berbanding 180 orang, dua tahun lalu.

“Jumlah pelancong berkurangan dengan mendadak sejak tahun lalu. Musim cuti sekolah ini ada sedikit peningkatan berbanding hari biasa cuma 30 orang.

“Ramai penumpang terdiri daripada pelancong Korea, China dan Eropah manakala pengunjung Semenanjung hanya kira-kira 30 peratus.

“Selain keadaan ekonomi tidak menentu, mungkin antara faktor kurangnya pelancong ke pulau disebabkan Sabah mempunyai banyak lokasi pelancongan menarik yang lain,” katanya kepada NSTP.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha pelancongan, Ayub Mahri, 41, tidak menolak kemungkinan kehadiran ‘ulat tiket’ yang semakin berleluasa di jeti berkenaan turut menjadi punca operator pelancongan yang sah berdepan kekurangan tempahan.

“Masalah ini sudah lama namun sehingga kini belum dapat diselesaikan. Harga tiket yang mereka (pengusaha bot tidak berdaftar) jual sama atau lebih murah sekiranya pelancong pandai menawar, tetapi mereka tidak memiliki insurans seperti kami,” katanya.

Berita Harian X