Isnin, 1 April 2019 | 9:55am
PENGARAH Taman-Taman Sabah (TTS), Dr Jamili Nais. - Foto Edmund Samunting

Penginapan baharu di Panalaban

RANAU: Pembukaan tempat penginapan baharu di Panalaban dijangka bakal menampung sehingga 185 pendaki di Gunung Kinabalu.

Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Dr Jamili Nais, berkata projek yang ditaja oleh Kerajaan Persekutuan itu merangkumi beberapa komponen termasuk hostel dua blok yang boleh memuatkan 50 pendaki.

Katanya, bagaimanapun, buat permulaan kemudahan itu dihadkan kepada hanya 30 pendaki sahaja menggunakannya.

“Sebelum ini slot pendakian adalah sebanyak 194 pendaki tetapi selepas kejadian gempa bumi dihadkan kepada 135 pendaki saja.

“Penginapan yang baru kita buka sekarang sebanyak 30 dan akan ditambah kepada 40 menjadikan maksimum pendaki adalah seramai 185 sekiranya ia beroperasi sepenuhnya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Makan Malam Bersama Media di Kundasang, malam tadi.

Jamili berkata, tempat penginapan yang menelan kos sebanyak RM12 juta itu juga turut menempatkan pejabat operasi TTS dan tempat bagi peralatan kesihatan.

“Selain itu, bilik penginapan bagi malim gunung dan Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) turut disediakan. Di Panalaban juga akan ada satu tempat pemeriksaan (check point) baharu untuk pendaki yang naik dan turun,” katanya.

Jamili berkata, projek itu sudah lama dirancang dan selepas kejadian gempa bumi pada 2015 ia menjadi keutamaan sebelum disiapkan dalam tempoh dua tahun.

“Sekarang kita ada penginapan di Laban Rata yang dikendalikan oleh Sutera Santuary Lodge (SSL), Pendant Hut dan Mountant Torq.

“TTS pula ada tiga hostel iaitu Lemai Hostel yang mempunyai 25 katil yang kekal khusus untuk pendaki Malaysia dan dua blok lagi iaitu yang baru ini, Hostel Mokodou dan Hostel Kinatoki masing-masing mempunyai 25 katil,” katanya.

Katanya lagi, susulan gempa bumi yang berlaku dulu menyebabkan dua penginapan mengalami kerosakan di Panalaban.

“Terdapat 12 katil hancur yang tidak dapat dibaiki dan kita anggap ia sebagai tempat bersejarah. Di Gunting Lagadan yang dikendalikan SSL, kita tidak buka kerana ada kemungkinan terdapat gelungsuran batu dari atas, jadi sehingga kini ia belum dibuka,” katanya.

Sehubungan itu, Jamili berkata dengan pembukaan tempat baharu itu secara rasminya sebanyak 165 slot pendaki akan dibuka mulai hari ini.

Sementara itu, seramai 49 pendaki termasuk 24 pengamal media dilepaskan di Timpohon Gate oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar, William Baya sempena pembukaan rasmi hostel itu hari ini.

Beliau berharap dengan adanya hostel ini akan menambah bilangan pendaki ke Gunung Kinabalu.

“Kita amat alu-alukan ia sebagai tambahan penginapan yang ada dan ini tentunya harganya lebih murah daripada apa yang ditawarkan SSL,” katanya.

211 dibaca
Berita Harian X