Jumaat, 12 Julai 2019 | 10:57pm
Pelajar PPKI bersama ibu bapa dan guru-guru serta wakil Malaysia Airports selepas majlis ringkas penyerahan bantuan peralatan pendidikan di Sekolah Kebangsaan Salak, Sepang, hari ini. - Foto ihsan Malaysia Airports.
Pelajar PPKI bersama ibu bapa dan guru-guru serta wakil Malaysia Airports selepas majlis ringkas penyerahan bantuan peralatan pendidikan di Sekolah Kebangsaan Salak, Sepang, hari ini. - Foto ihsan Malaysia Airports.

Malaysia Airports sumbang peralatan RM11,000 kepada SK Salak

SEPANG: Malaysia Airports menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila menyumbang peralatan pendidikan sebanyak RM11,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Salak untuk Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sini, baru-baru ini.

Sumbangan disampaikan oleh Pengurus Besar Komunikasi Korporat Malaysia Airports, Nik Anis Nik Zakaria pada majlis ringkas di sekolah berkenaan.

Nik Anis, berkata sumbangan itu untuk membantu SK Salak memperoleh alat bantuan belajar bersesuaian dan menambahbaik persekitaran pembelajaran serta mewujudkan suasana yang selesa bagi menyuntik semangat dalam kalangan murid-murid istimewa.

“Antara peralatan yang diperlukan merangkumi peralatan pengurusan diri, peralatan teknologi maklumat dan komunikasi, peralatan dapur, perkebunan dan peralatan terapi.

“Kami amat mengagumi usaha yang telah diambil oleh SK Salak ini dalam menyediakan pendidikan menyeluruh untuk murid-murid istimewa ini.

“Kami berharap agar peralatan terbabit dapat memberi faedah kepada pelajar PPKI di sekolah ini dan membantu mereka dalam meningkatkan prestasi pembelajaran serta pengurusan diri, lantas membakar semangat mereka untuk terus belajar,” katanya.

Nik Anis berkata, inisiatif CSR itu adalah selaras dengan matlamat Malaysia Airports untuk memberi peluang pendidikan berkualiti kepada semua pelajar secara inklusif.

SK Salak mempunyai seramai 17 orang murid berkeperluan khas yang tergolong dalam kategori masalah pembelajaran yang dibimbing oleh empat orang guru berdedikasi sejak tahun 2012.

Antara kategori murid yang mempunyai masalah pembelajaran di sekolah ini adalah ‘Sindrom Down’, Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD) dan masalah fizikal.

Selain menitik beratkan aspek pendidikan akademik, sekolah itu turut memberi pendidikan kemahiran hidup untuk membekalkan mereka dengan pendidikan menyeluruh termasuk perkembangan ‘motor skills’.

Sementara itu, Guru Besar SK Salak, Ishak Noh, berkata pihaknya amat mengalu-alukan bantuan dan usaha untuk meningkatkan mutu pembelajaran murid-murid berkeperluan khas ini di tahap yang lebih baik.

“Kami rasa amat terharu dan akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu murid-murid berkeperluan khas di sekolah ini untuk lebih maju ke hadapan khususnya dalam bidang pembelajaran serta pengurusan diri,” katanya.

Berita Harian X