Jumaat, 16 Ogos 2019 | 5:33pm
SEBAHAGIAN pengunjung yang hadir pada Majlis Pelancaran Siri Ketiga Pameran Hartanah MyRumah 2019 yang dirasmikan Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor di Komtar JBCC, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

Lebih banyak penyertaan dari pemaju di pameran MyRumah 2019 Johor

JOHOR BAHRU: Pameran hartanah, MyRumah 2019 anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) kembali ke Johor dengan lebih banyak penyertaan dan tawaran daripada pemaju.

Berlangsung buat tahun keempat di negeri ini, pameran hartanah MyRumah 2019 di Komtar JBCC bermula hari ini selama tiga hari sehingga Ahad.

Siri jelajah ketiga MyRumah 2019 yang disokong oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu menawarkan lebih 3,400 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.2 bilion.

Majlis perasmian MyRumah 2019 disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Interim NSTP, Mustapha Kamil Mohd Janor; Pengarah Urusan Johor Land, Lokman Abu Bakar; Ketua Pegawai Operasi NSTP, Datuk Yushaimi Maulud Yahaya, dan Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Jeannie Leong.

Dzulkefly berkata, beliau mengalu-alukan penganjuran pameran hartanah seperti MyRumah yang membantu kerajaan negeri memacu penjualan kediaman di Johor.

“Berdasarkan sentimen pasaran yang positif, saya yakin akan potensi sektor perumahan domestik dan juga dalam negeri.

“Dua projek pembangunan sedang dijalankan dijangka akan membantu membaiki sistem perhubungan antara bandar iaitu Sistem Transit Aliran Johor Bahru-Singapura (RTS) serta Transit Aliran Bas Iskandar (RBS),” katanya ketika berucap pada perasmian itu.

Sementara itu, Mustapha Kamil berkata, satu daripada teras utama MyRumah ialah pendidikan dan pameran menyediakan aset tidak ternilai kepada pengunjung secara percuma.

“Saya menyeru kepada orang ramai untuk hadir ke pameran MyRumah Johor Bahru dan dapatkan penjelasan lebih lanjut daripada pakar hartanah dan perumahan negara yang turut serta dalam pameran MyRumah kali ini,” tambahnya.

Siri ketiga pameran hartanah MyRumah Komtar JBCC itu akan berlangsung bermula jam 10 pagi hingga jam 10 malam disertai oleh lapan pemaju iaitu Bukit Pelali Properties Sdn Bhd, Dynasty View Sdn Bhd, GuocoLand (Malaysia) Berhad, Johor Land Berhad, KPKT serta Jabatan Perumahan Negara (JPN), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seri Alam Properties Sdn Bhd dan UDA Land (South) Sdn Bhd.

Ia juga turut disertai MBSB Bank Berhad, Lionmas Furnishers (M) Sdn Bhd, Oriental Food Industries Sdn Bhd, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Takaful Ikhlas Bhd.

Siri pertama MyRumah dianjurkan di pusat beli-belah MyTown, Kuala Lumpur, pada Mac lalu dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung sebelum diteruskan ke pusat beli belah AEON Bandaraya Melaka, bulan lalu.

Selepas Johor Bahru siri jelajah pameran hartanah MyRumah 2019 akan berlangsung di Shah Alam dan Ipoh.

Berita Harian X