Khamis, 19 September 2019 | 9:11pm
Tengku Sarafudin Badlishah (tengah) berkenan menyaksikan pertukaran dokumen MoA bagi penubuhan Skim Dana Wakaf UUM diantara Syeikh Hasbullah (kiri) Dr Ahmad Bashawir (kanan). - NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Tengku Sarafudin Badlishah (tengah) berkenan menyaksikan pertukaran dokumen MoA bagi penubuhan Skim Dana Wakaf UUM diantara Syeikh Hasbullah (kiri) Dr Ahmad Bashawir (kanan). - NSTP/Noorazura Abdul Rahman

MAIK kumpul wakaf tunai lebih RM3 juta sejak 2015

ALOR SETAR: Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) mengumpul wakaf tunai lebih RM3.2 juta sejak 2015, selain memiliki aset wakaf tanah lebih 3,238 hektar di seluruh negeri yang akan dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat Islam di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Syeikh Hasbullah Abd Halim, berkata antara projek terbesar yang sedang dilaksanakan ketika ini menggunakan wakaf tunai adalah pembinaan sebuah masjid di Kampung Hujung Keton, Mukim Tekai, Padang Terap dengan peruntukkan sebanyak RM2 juta.

Katanya, selain itu MAIK turut menggunakan wakaf tunai sebelum ini dengan membina bangunan rumah kedai di beberapa daerah seperti di Alor Setar, Baling, Bandar Bharu dan Kubang Pasu.

“Bangunan ini ada yang kita bangunkan sejak 10 tahun lalu dan ia disewa kepada peniaga, pulangan sewa itu kita akan gunakan untuk tujuan wakaf semula.

“Kita juga sedang merancang untuk membangunkan lebih banyak tanah wakaf, terutama di sekitar Alor Setar iaitu lebih sehektar di belakang stesen kereta api, di sini dan 13 hektar di Kuala Kedah,” katanya semasa sidang media selepas Memorandum Perjanjian (MoA) bagi penubuhan Skim Dana Wakaf Universiti Utara Malaysia (UUM) di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEIK), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Syeikh Hasbullah berkata projek wakaf berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama UDA Holding Berhad (UDA) menerusi anak syarikatnya iaitu UDA WAQF Sdn Bhd.

Katanya, kesemua projek wakaf itu akan dilaksanakan secara berperingkat demi membangunkan ekonomi umat Islam.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin berkenan berangkat menyaksikan MoA berkenaan yang ditandatangani Syeikh Hasbullah bersama Setiausaha MAIK, Datuk Abd Rahman Ismail, manakala UUM menerusi Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani dan Bendahari, Eylani Ahmad.

Sementara itu, Dr Ahmad Bashawir berkata, melalui skim itu, UUM diberikan kelulusan untuk mengumpul dana wakaf di UUM dan menguruskan dana bagi tujuan kerohanian, kebajikan, pendidikan, kesihatan dan kepentingan warga universiti khasnya untuk umat Islam.

Katanya, kerjasama itu akan mengukuhkan pengurusan dana wakaf di MAIK menerusi penyelarasan, penyelidikan dan usaha sama pembangunan harta wakaf untuk menjamin kepentingan dan pemilikan oleh umat Islam pada masa hadapan.

“Untuk itu, kita berharap Kementerian Kewangan dapat memberi pelepasan cukai kepada pewakaf bagi menarik minat masyarakat Islam khususnya warga universiti ke arah membudayakan amalan wakaf dan sedekah jariah demi kemaslahatan ummah,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X