Ahad, 20 Oktober 2019 | 3:57pm
Ayus bersama anaknya di rumahnya di Kampung Kuala Koh. - NSTP/Ramli Ibrahim

'Ibu bawa diri ke hutan selepas 3 anak meninggal dunia'

GUA MUSANG: “Lebih dua bulan ibu tidak balik ke rumah kerana membawa diri ke hutan bagi melupakan tragedi tiga anaknya meninggal dunia akibat jangkitan demam campak pada Jun lalu.

“Ibu lebih tenang berada di hutan daripada tinggal di rumah ini selepas tragedi itu,” kata Ayus Hamdan, 24, yang juga Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh di sini, hari ini.

Ayus berkata, ibunya, Som Ngai, 50, mengambil keputusan tinggal di hutan tidak jauh dari kampung itu kerana fikirannya terganggu dengan tragedi yang menyebabkan tiga anaknya meninggal dunia iaitu, Romi Hamdan, 29, Leha, 26, dan Din,18.

Katanya, walaupun tragedi itu sudah lebih empat bulan berlaku, tetapi ibunya tidak dapat melupakan tiga anak kesayangannya itu.

“Saya tidak tahu ibu tinggal di kawasan hutan mana kerana ketika pergi, dia tidak memaklumkan kepada kami,” katanya.

Ayus berkata, ibunya itu sudah biasa tinggal di kawasan hutan kerana kerap keluar masuk hutan ketika arwah bapanya, Hamdan Keladi masih hidup.

Menurutnya, kebiasaan ibunya mengambil masa antara seminggu hingga dua minggu masuk hutan dan selepas itu dia akan pulang semula ke rumah.

“Apapun kami tidak bimbang dengan keselamatan ibu kerana mungkin ada lagi penduduk lain ada bersamanya di hutan walaupun sudah lama tidak pulang.

“Kami masih mempunyai tiga lagi adik beradik selepas tragedi itu dan tinggal bersama di rumah di kampung ini,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan tragedi jangkitan kuman demam campak pada Jun lalu menyebabkan tiga beradik antara 15 Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, meninggal dunia.

Selain itu, seramai 112 lagi penduduk kaum itu yang turut dijangkiti penyakit terbabit menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK).

Berita Harian X