Jumaat, 10 April 2020 | 5:01pm
USIM menyasarkan untuk menyediakan sebanyak 4,500 pakaian perlindungan diri (PPE). - Foto Twitter USIM
USIM menyasarkan untuk menyediakan sebanyak 4,500 pakaian perlindungan diri (PPE). - Foto Twitter USIM

USIM sasar sedia 4,500 PPE

NILAI: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyasarkan untuk menyediakan sebanyak 4,500 pakaian perlindungan diri (PPE) bagi petugas barisan hadapan bagi menangani penularan wabak COVID-19.

Sebelum ini, USIM menghasilkan produk cecair pembasmi kuman dan pelindung muka untuk barisan hadapan khususnya untuk petugas kesihatan.

Pakar Oftalmologi USIM yang juga ketua projek berkenaan, Profesor Madya Dr Azlina Mokhtar, berkata usaha murni ini diterajui dan digerakkan oleh pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan kakitangan Klinik Pakar Kesihatan USIM (KPKU).

Katanya, projek penghasilan PPE itu meliputi gaun, kasut dan tudung kepala sudah bermula pada 2 April lalu secara berperingkat.

“Saya terpanggil untuk menggerakkan usaha ini atas rasa prihatin dan ingin membantu rakan yang bertugas di barisan hadapan menghadapi kekurangan bekalan PPE di hospital.

“Justeru, usaha awal dimulakan dengan mengumpul sumbangan kewangan dan membentuk pasukan sukarelawan terdiri daripada pensyarah perubatan FPSK USIM dan staf KPKU untuk menjahit PPE ini.

“Sebanyak 470 unit PPE berjaya dihasilkan dan sudah disumbangkan kepada Hospital Ampang dan melalui sokongan daripada pengurusan universiti.

“Pasukan ini ingin menghasilkan lebih banyak PPE untuk disumbangkan kepada petugas barisan hadapan.

“Sasaran kami adalah sebanyak 4,500 PPE menjelang akhir bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azlina berkata, pihaknya bekerjasama dengan syarikat jahitan tempatan, Kamoora Butik Entreprise dan Pookal Industry Sdn Bhd bagi menghasilkan fasa kedua sebanyak 1,000 unit PPE.

Katanya, ia berjalan mengikut jadual dan akan disumbangkan ke Hospital Ampang; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh; dan Hospital Port Dickson.

Katanya, ketiga-tiga hospital ini adalah hospital pengajar kepada pelajar perubatan USIM.

“Pengeluaran peringkat ketiga akan membabitkan sebanyak 1,000 unit khusus untuk memenuhi keperluan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ) dan sukarelawan kita sedang menyiapkannya di Pusat Inkubator Jahitan USIM.

“Pengeluaran peringkat keempat sebanyak 2,000 unit lagi PPE akan diagihkan termasuk untuk menampung keperluan Klinik Pakar Kesihatan USIM dan Pusat Hemodialysis USIM, Klinik Kesihatan dan Pusat Kesihatan Daerah,” katanya.

Azlina berkata, sebanyak RM67,000 diperuntukkan bagi usaha itu dengan sebahagian kos ditampung melalui sumbangan daripada Majlis Dato-Dato Kurnia Negeri Sembilan, Yayasan Munarah Negeri Sembilan, Tabung COVID-19 USIM, Jemaah Profesor USIM dan sumbangan individu dalam kalangan pensyarah FPSK dan staf KPKU sendiri.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X