Ahad, 12 April 2020 | 9:54pm
Presiden Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (USM) atau PADU, Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah.
Presiden Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (USM) atau PADU, Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah.

PADU mohon dana RM290,000

GEORGETOWN: Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (USM) atau PADU memerlukan dana sebanyak RM290,000 bagi memenuhi permintaan terhadap kekurangan alatan sokongan pernafasan di hospital seluruh negara.

Dana itu diperlukan bagi mengisi Tabung Projek Dana Pembelian Alatan Sokongan dan Bantuan Pernafasan (COVID-19) yang sudah dilancarkan pada 23 Mac lalu.

Presiden PADU, Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah berkata, projek dana itu bertujuan membantu mengatasi kekurangan peralatan khususnya alatan sokongan pernafasan akibat wabak pandemik COVI-19 di hospital seluruh negara.

Katanya, sejak projek berkenaan dilaksanakan, ia mendapat sambutan menerusi dana yang sudah terkumpul hampir RM70,000.

Ia termasuk sumbangan daripada Tabung Mawaddah, Bank Muamalat Malaysia Berhad sebanyak RM37,500 bagi pembelian 10 set topi keledar Continuous Positive Airway Pressure (CPAP).

“Namun disebabkan limitasi kewangan, kami hanya membekalkan alatan mampu beli mengikut dana yang ada.

“Alatan bantuan pernafasan yang mendapat permintaan termasuk CPAP, Bilevel Positive Airway Pressure (BiPAP) , ‘high flow nasal cannula’ serta ventilator dan ia dikenalpasti menerusi wakil PADU yang bertugas di semua hospital,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdahulu menerusi sumbangan berkenaan, PADU sudah membeli 11 set topi keledar CPAP dan lima topi keledar BiPAP yang diagihkan ke enam hospital iaitu Hospital Sungai Buloh (HSB), Selangor; Hospital Kuala Lumpur (HKL); Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu, Sabah; Hospital Umum Sarawa, Kuching, Sarawak serta Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Hospital Raja Perempuan Zainab II masing-masing di Kota Bharu, Kelantan.

“Kini PADU juga turut mengelola projek memasang perisai muka plastik pada 300 perisai muka 3 dimensi (3D) hasil sumbangan daripada pihak 3D Printing Malaysia Community for COVID-19 dan sudah diagihkan kepada petugas barisan hadapan dan kakitangan makmal Hospital Raja Perempuan Zainab II, HUSM dan Hospital Tumpat di Kelantan.

“Malah PADU turut melancarkan projek ‘Food Charity For Students USM-PADU (COVID-19) yang mana dana ini menyumbang bekalan makanan kepada penuntut di Kampus Kesihatan yang berada di kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“PADU berterima kasih kepada semua penyumbang dan sumbangan boleh salurkan menerusi akaun Bank Islam Malaysia Berhad Persatuan Alumni Doktor USM (PADU) bernombor 03018010143411 dengan rujukan CPAP COVID-19,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X