Rabu, 15 April 2020 | 9:35am
Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil. - NSTP/Hassan Omar
Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil. - NSTP/Hassan Omar

Melaka lanjut tangguh aktiviti masjid, surau sehingga 28 April

MELAKA: Penangguhan semua aktiviti di masjid dan surau di seluruh negeri ini yang sepatutnya berakhir semalam, dilanjutkan hingga 28 April susulan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil, memaklumkan sebarang keputusan berkaitan penangguhan itu selepas ini akan turut mengikut ketetapan yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan dari semasa ke semasa.

“Sehubungan itu, tiada solat Jumaat pada 17 April, manakala solat sunat tarawih juga tidak ditunaikan secara berjemaah di masjid dan surau, sebaliknya bersama-sama anggota keluarga di rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau juga menjelaskan, pesakit COVID-19 diharuskan berbuka puasa apabila tidak mampu meneruskan ibadat berkenaan atau bergantung pada ubat yang mesti dimakan mengikut waktu ditetapkan.

“Pesakit berkenaan juga diharuskan berbuka atas nasihat doktor jika ibadat itu boleh melambatkan kesembuhan atau memudaratkan mereka,” katanya.

Pesakit dalam keadaan kritikal, katanya, juga diharuskan tidak berpuasa tetapi mereka yang tidak berpuasa harus menghormati Ramadan dengan menjaga adab tertentu.

“Pesakit yang tidak berpuasa disaran melakukan ibadat sunat seperti solat sunat tarawih, mengaji al-Quran, berselawat, berdoa, bersedekah dan seumpamanya.

“Puasa yang ditinggalkan hendaklah digantikan apabila mereka sudah sihat mengikut bilangan hari puasa yang ditinggalkan,” katanya.

Beliau berkata, petugas barisan hadapan dan kakitangan Jabatan Kesihatan yang menangani penularan wabak berkenaan diharuskan berbuka apabila tidak mampu berpuasa atau dikhuatiri jika meneruskan puasa, akan menjejaskan fokus dan kemampuan untuk merawat pesakit.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X