X
Isnin, 20 April 2020 | 8:52pm
Pegawai Pendidikan Daerah Batu Pahat, Shaharudin Basri Ibrahim (kiri) menyerahkan sumbangan warga pendidik daerah kepada wakil Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI). -Foto Ihsan PPD BATU PAHAT
Pegawai Pendidikan Daerah Batu Pahat, Shaharudin Basri Ibrahim (kiri) menyerahkan sumbangan warga pendidik daerah kepada wakil Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI). -Foto Ihsan PPD BATU PAHAT

COVID-19: Warga pendidik Batu Pahat kumpul dana bantu barisan hadapan

JOHOR BAHRU: Prihatin terhadap petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus mengekang penularan wabak COVID-19, warga pendidik daerah Batu Pahat berganding bahu menghulurkan bantuan.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama, mereka mewujudkan tabung khas Bantuan Prihatin COVID-19 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat yang setakat ini berjaya mengumpul sumbangan lebih RM10,000.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Batu Pahat (Sektor Pengurusan Sekolah), Mohamad Azil Mohamad, berkata hasil dana itu digunakan bagi membeli barangan dan peralatan diperlukan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat selain turut diagih kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

"Antara barangan dibeli dari tabung berkenaan adalah lampin pakai buang dewasa dan kanak-kanak, makanan, alat tulis, air mineral selain penutup hidung dan mulut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Batu Pahat (Sektor Pengurusan Sekolah), Mohamad Azil Mohamad (tiga dari kanan) menyerahkan pakaian PPE kepada wakil Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI). - Foto Ihsan PPD BATU PAHAT.
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Batu Pahat (Sektor Pengurusan Sekolah), Mohamad Azil Mohamad (tiga dari kanan) menyerahkan pakaian PPE kepada wakil Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI). - Foto Ihsan PPD BATU PAHAT.

Katanya, lima guru turut mengemudi inisiatif menjahit pakaian kelengkapan perlindungan diri (PPE) dengan bantuan keluarga dan sahabat mereka.

“Sebanyak 360 set lengkap sudah siap dah diserahkan kepada HSNI, semalam. Proses pembuatan PPE diteruskan dengan spesifikasi diberi HSNI, malah jangkaan lebih 300 set lengkap PPE akan siap Rabu ini.

"Selain sumbangan warga pendidik Batu Pahat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut tampil berganding bahu bersama kami selepas melihat inisiatif dan dedikasi warga guru menghulurkan bantuan, " katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Azil berkata, inisiatif warga pendidik Batu Pahat itu adalah sumbangan kecil mereka bagi membantu meringankan beban petugas barisan hadapan dalam memerangi COVID-19.

"Warga pendidik turut berasa terpanggil menghulurkan bantuan yang terdaya selepas melihat pengorbanan dan kerja keras petugas barisan hadapan memerangi COVID-19.

"Ini penghargaan kami sebagai rakyat. Terima kasih juga kepada semua guru, NGO serta penderma yang tampil menyumbang bagi tujuan ini," katanya.

Berita Harian X