Isnin, 27 April 2020 | 9:52pm

PKNS bantu usahawan hadapi masa sukar

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan melancarkan kempen 'Raya Bersama PKNS' bagi membantu usahawan menghadapi cabaran perniagaan ketika negara dilanda wabak COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain, berkata kempen itu dijalankan dengan kerjasama strategik platform e-dagang, Shopee Malaysia dan mendapat sokongan penuh Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) dalam merancakkan lagi ekonomi digital di negeri itu.

Beliau berkata program yang memasuki tahun kedua itu diharapkan dapat menjadi medium terbaik untuk usahawan PKNS mendepani cabaran perniagaan dalam tempoh yang sukar ini.

"Melalui inisiatif ini, semua usahawan PKNS akan dikumpulkan dalam satu halaman khusus yang akan diiklankan di halaman utama Shopee dan pembeli berpeluang menerima 'coins cashback' sehingga 20 peratus apabila mereka melakukan pembelian bersama usahawan PKNS," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata program itu membabitkan 51 usahawan di bawah program PKNS BizClub bermula daripada 15 April hingga 15 Mei 2020, dengan produk yang ditawarkan termasuk pakaian raya, kuih dan biskut raya serta keperluan kecantikan dan aksesori sempena Aidilfitri.

"Keputusan kempen tahun lalu kami bersama Shopee sangat memberangsangkan. Ada usahawan yang telah menjana jualan sebanyak RM20,000 dalam masa sebulan.

"Kami amat teruja dan berharap lebih ramai lagi yang akan dapat mencatatkan rekod seperti ini. Inisiatif kami bersama Shopee dapat meningkatkan kesejahteraan dan pendapatan Rakyat negeri Selangor," katanya,

Maklumat lanjut boleh diperoleh di https://shopee.com.my/m/raya-bersama-pkns. – BERNAMA

Berita Harian X