Selasa, 14 Julai 2020 | 8:06am
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan operasi memindahkan penduduk terjejas banjir. - Foto NSTP/ihsan APM
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan operasi memindahkan penduduk terjejas banjir. - Foto NSTP/ihsan APM

Banjir Johor makin buruk, 1,235 ditempatkan di 14 PPS

JOHOR BAHRU: Banjir di empat daerah negeri ini semakin buruk dengan jumlah penduduk terjejas melonjak kepada 1,235 membabitkan 323 keluarga setakat jam 2 pagi tadi, berbanding hanya 707 mangsa malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata Batu Pahat menjadi daerah terbaharu dan keempat yang terjejas banjir.

Sebanyak 14 pusat pemindahan sementara (PPS) sudah dibuka, pertambahan empat PPS berbanding malam tadi.

"Muar menjadi daerah paling terjejas dengan 768 mangsa daripada 208 keluarga ditempatkan di tujuh PPS.

"Ia diikuti Tangkak dengan 267 mangsa daripada 63 keluarga sementara Pontian pula membuka tiga PPS dengan seramai 160 mangsa daripada 47 mangsa.

"Sebuah PPS dibuka di Batu Pahat menempatkan 20 mangsa daripada lima keluarga, " katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut Vidyananthan berkata, agensi penyelamat termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) diarahkan supaya terus meningkatkan pemantauan dan persediaan anggota di seluruh negeri ini.

"Ia berikutan cuaca tidak menentu masih berlanjutan dengan hujan lebat di hampir semua daerah di negeri ini.

"Jabatan Meteorologi Malaysia juga meramalkan keadaan cuaca lembap dan hujan dijangka berterusan hingga hujung Julai ini, sekali gus meningkatkan kebimbangan berlaku banjir di kawasan rendah," katanya.

Berita Harian X