Ahad, 2 Ogos 2020 | 2:48pm
Rakaman video gajah liar berkeliaran meluru gerai buah di Jalan Mawai, Kota Tinggi, Jumaat lalu. - Ihsan pembaca
Rakaman video gajah liar berkeliaran meluru gerai buah di Jalan Mawai, Kota Tinggi, Jumaat lalu. - Ihsan pembaca

Gajah: Pengguna laluan Jalan Mawai diminta berwaspada

JOHOR BAHRU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor meminta pengguna di laluan Jalan Mawai, Kota Tinggi, sentiasa berwaspada dengan kehadiran gajah di laluan berkenaan.

Pengarah PERHILITAN Johor, Salman Saaban, berkata ia berikutan jajaran jalan berkenaan dari Batu 4 sehingga Batu 14 menjadi lokasi kawanan gajah sering lalu-lalang serta melintas bagi mencari makanan.

Katanya, laluan berkenaan yang terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Panti seluas 155 hektar juga adalah kawasan habitat asal gajah.

"Kita anggarkan terdapat sehingga 40 gajah atau lebih yang tinggal di Hutan Simpan Panti yang terletak bersebelahan Jalan Mawai, Kota Tinggi.

"Sebab itulah laporan gajah melintas dan masuk ke kampung berhampiran iaitu Kampung Mawai sering dilaporkan, malah minggu lalu juga seorang lelaki maut akibat diserang gajah di Batu 6, Jalan Mawai manakala kelmarin pula dilaporkan dua ekor gajah makan buah-buahan yang dijual penjaja gerai di jalan berkenaan.

"Kita meminta pengguna dan orang ramai di laluan Jalan Mawai khususnya di Batu 4 hingga Batu 14 supaya lebih berwaspada dan berhati-hati ketika terserempak dengan kawanan gajah.

"Terdapat banyak papan tanda amaran gajah di laluan berkenaan. Jika pemandu terserempak dengan gajah, mereka perlu berhenti dan membiarkan gajah melintas, jangan membunyikan hon atau memasang lampu tinggi sekali gus mengganggu gajah berkenaan mahu pun keluar dari kenderaan bagi mengambil gambar atau video.

"Gajah di kawasan itu tidak mengganggu kenderaan yang melalui laluan berkenaan jika mereka tidak diganggu-gugat dan berasa terancam, malah terdapat laporan ada kenderaan yang dipijak gajah sebelum ini sebenarnya berikutan pemandu yang tidak memberhentikan kenderaan mereka ketika kawanan haiwan berkenaan melintas, " katanya ketika dihubungi.

Jumaat lalu, media melaporkan kehadiran dua ekor gajah liar di Jalan Mawai, Kota Tinggi, menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa menghentikan kenderaan mereka.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, dilaporkan berkata gajah liar itu menyerang sebuah gerai buah-buahan di kawasan terbabit kira-kira jam 8 malam dengan pemiliknya terpaksa lari menyelamatkan diri.

Minggu lalu pula, seorang pengawal keselamatan berusia 56 tahun maut diserang sekumpulan gajah liar di Batu 6, Jalan Mawai.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, dilaporkan berkata mangsa dipercayai diserang antara dua atau tiga ekor gajah.

Sementara itu, Salman berkata pihaknya akan berbincang dengan Pejabat Daerah Kota Tinggi mengenai kewujudan kira-kira 10 gerai penjaja di laluan Jalan Mawai yang dibimbangi mendatangkan risiko keselamatan terhadap peniaga berkenaan.

"Kita akan berbincang dahulu sama ada penjaja terbabit perlu dipindahkan berikutan kawasan itu menjadi laluan gajah liar dan dibimbangi haiwan berkenaan akan kembali bagi mencari makanan di situ lagi, " katanya.

Berita Harian X