Khamis, 18 Jun 2020 | 6:13pm
Gambar fail: Logo rasmi Honda. - Foto: AFP
Gambar fail: Logo rasmi Honda. - Foto: AFP

Honda Malaysia panggil semula 55,354 unit kereta ganti pam bahan api

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia memanggil semula bagi 55,354 unit kenderaan keluarannya untuk menggantikan pam bahan api sebagai langkah pencegahan sejajar dengan panggilan semula pam bahan api Honda di peringkat global.

Syarikat automotif itu dalam satu kenyataan berkata, antara model yang terlibat ialah Accord yang dikeluarkan pada 2018, BR-V (2018), City (2019), City (HEV) (2019), Civic (2018), CR-V (2018 dan 2019), HR-V (2018), HR-V (HEV) (2018), Jazz (2019), dan Jazz (HEV) (2019).

"Syarikat yakin keputusan memanggil balik kenderaan ini adalah perlu sebagai langkah pencegahan untuk menangani potensi kemerosotan kuasa enjin atau enjin mati secara tiba-tiba. Semua pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan menerusi surat pemberitahuan yang akan memaklumkan perincian mengenai panggilan semula produk.

"Honda Malaysia menyeru pelanggan yang terbabit untuk menghubungi peniaga sah Honda untuk membuat janji temu selepas menerima pemberitahuan bagi menggantikan pam bahan api, tertakluk kepada kesediaan alat ganti," katanya.

Menurutnya, penggantian itu adalah percuma berdasarkan stok yang akan disediakan secara berperingkat dan semua kos membabitkan kerja-kerja penggantian akan ditanggung oleh Honda Malaysia.

"Honda Malaysia memohon maaf kepada pelanggan yang terjejas dan memberi jaminan bahawa semua model keluaran 2020 tidak terbabit dalam panggilan semula produk ini. Setakat ini, tiada sebarang insiden kemalangan atau kecederaan yang berlaku akibat isu ini yang dilaporkan di Malaysia," katanya.

Memandangkan talian bebas tol Honda kini sedang menjalani penyenggaraan teknikal, syarikat itu meminta pemilik kenderaan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai panggilan semula produk daripada mana-mana peniaga sah Honda atau layari www.honda.com.my untuk menyemak status kenderaan masing-masing. - Bernama

Berita Harian X