Khamis, 29 March 2018 | 4:38pm
CHRISTIAN Rojkjaer (kanan) bersama Pengarah Pusat Membeli belah IKEA Asia Tenggar, Christian Olofsson (kiri) menunjukkan kawasan pembinaan Pusat membeli belah TOPPEN selepas sidang media di IKEA Tebrau, Johor Bahru. - Zain Ahmed
CHRISTIAN Rojkjaer (kanan) bersama Pengarah Pusat Membeli belah IKEA Asia Tenggar, Christian Olofsson (kiri) menunjukkan kawasan pembinaan Pusat membeli belah TOPPEN selepas sidang media di IKEA Tebrau, Johor Bahru. - Zain Ahmed

Ikea Toppen Tebrau akan wujudkan 5,000 peluang pekerjaan

JOHOR BAHRU: Lebih 5,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan selepas Pusat Membeli-Belah Toppen di Tebrau yang mempunyai nilai pembangunan kasar RM900 juta siap pada suku ketiga 2019.

Ia adalah pusat membeli-belah IKEA yang terbesar di Asia Tenggara.

Pengarah Urusan, Christian Rojkjaer, berkata pusat membeli-belah seluas 1.1 juta kaki persegi itu adalah pusat membeli belah yang ketiga milik kumpulan itu di Malaysia dan dijangka boleh memuatkan sejumlah 300 peruncit yang menawarkan produk dan perkhidmatan yang akan melengkapi IKEA Store Tebrau sebagai gedung penyewa utama.

"Pusat Membeli-Belah Toppen dijangka menarik 15 juta pengunjung pada 2020, bukan sahaja dari Johor Bahru, malah dari wilayah selatan Malaysia dan Singapura. Ia juga akan membawa beribu-ribu peluang pekerjaan dan perniagaan.

"Kami memilih Johor Bahru kerana kami telah menyaksikan secara harian, perkembangan yang sedang berlaku, khususnya di dalam Iskandar Malaysia. Kami berasa bangga untuk menjadi sebahagian daripada pembangunan tersebut dan penyumbang kepada ekonomi negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, selain peluang pekerjaan, pusat membeli-belah itu juga akan membantu meningkatkan sektor ekonomi lain termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

"Kami sudah pun menjalankan kerjasama dengan syarikat-syarikat tempatan di sini, bukan sahaja untuk tujuan penjualan semula, tetapi juga sebagai pembekal. Kami ada syarikat-syarikat tempatan yang akan membekalkan bebola daging halal dan kepak ayam kepada kami, jadi, kami turut menyumbang kepada rantaian ekonomi penawaran dan permintaan secara keseluruhan," katanya.

Pusat Membeli-Belah Toppen dengan empat tingkat itu, akan membolehkan pengunjung mempunyai pilihan ke atas kedai-kedai runcit tempatan dan antarabangsa, fasiliti mesra keluarga, ruang serbaguna, hiburan, tempat makan dan pengalaman sukan.

Dua pusat membeli-belah IKEA yang lain di Malaysia adalah Pusat Membeli-Belah IPC, Damansara dan Pusat Membeli-Belah MyTown, Cheras. - BERNAMA

Berita Harian X