Khamis, 5 April 2018 | 7:30pm

Protasco peroleh kontrak senggara jalan di Perak

KUALA LUMPUR: Protasco Bhd melalui anak syarikatnya Empayar Indera Sdn Bhd, memperoleh kontrak daripada kerajaan negeri Perak bagi kerja penyenggaraan rutin dan berjadual jalan raya negeri.

Tempoh kontrak tersebut adalah lima tahun sehingga 31 Disember 2024, dengan lanjutan dua tahun sehingga 31 Disember 2026, menurut syarikat pembinaan itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

"Nilai kontrak bagi dua tahun pertama adalah kira-kira RM126.1 juta dan tertakluk kepada penilaian semula bagi setiap dua tahun sepanjang tempoh kontrak lima tahun dengan lanjutan dua tahun," katanya.

Protasco berkata pemberian kontrak itu merupakan lanjutan daripada kontrak penyenggaraan sedia ada dengan kerajaan negeri, yang akan tamat pada Disember 2019.

Kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan masa depan Protasco.

Dalam kenyataan lain kepada bursa, Protasco berkata, Empayar Indera turut memperolehi kontrak kerja penyenggaraan rutin dan berjadual bagi jalan pertanian di Perak selama lima tahun.

Nilai kontrak bagi dua tahun pertama adalah kira-kira RM90.1 juta dan tertakluk kepada penilaian semula bagi setiap dua tahun sepanjang tempoh kontrak lima tahun dengan lanjutan dua tahun.

Sementara itu, unit lain Protasco, Roadcare (M) Sdn Bhd juga mendapat lanjutan konsesi kerja penyenggaraan jalan persekutuan di kawasan tengah dan timur Semenanjung Malaysia selama lapan tahun sehingga 2026, dan dua lagi konsesi penyenggaraan jalan di Perak.

Roadcare memeterai perjanjian konsesi dengan kerajaan bagi projek meliputi jalan persekutuan di Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

"Konsesi jalan persekutuan itu dan dua konsesi Perak akan membantu syarikat mengekalkan keuntungan stabil dan meningkatkan nilai perolehan kontrak penyenggaraan kepada RM5.3 bilion," kata Protasco. -BERNAMA

Berita Harian X