Isnin, 7 Mei 2018 | 6:39pm

Retro Highland bangun semula perumahan awam Cheras

KUALA LUMPUR: Retro Highland Sdn Bhd akan melaksanakan projek pembangunan semula perumahan awam Sri Johor, Sri Pulau Pinang, Sri Melaka dan Taman Ikan Emas di Cheras untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sebagai pertukaran, Retro Highland, syarikat tujuan khas (SPV) milik SP Setia Bhd dan Tradewinds Corporation Bhd, akan memperoleh tanah pajakan seluas 20.9 hektar bernilai RM1.19 bilion di Cheras.

SP Setia berkata, pembangunan projek perumahan rakyat kualiti lestari (QSPH) itu secara keseluruhannya membabitkan pembangunan semula sejumlah 5,650 unit kediaman.

Pemaju hartanah itu berkata, fasa permulaan pembangunan QSPH adalah sebahagian daripada perjanjian penswastaan yang dimeterai Retro Highland dan DBKL hari ini.

Ia membabitkan pembangunan semula 3,971 unit kediaman di bawah rumah kluster Taman Ikan Emas, rumah pangsa kos rendah Sri Melaka, Sri Pulau Pinang dan Sri Johor.

"Pembangunan QSPH di bawah perjanjian penswastaan akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan Fasa Pertama membabitkan 1,192 unit kediaman.

"Fasa Kedua pula membabitkan 2,779 unit kediaman; 112 kedai dan gerai; 244 lot pasar dan kemudahan awam lain seperti pejabat, dewan pelbagai guna, surau, tadika dan rumah pengebumian," katanya dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia, di sini, hari ini.

SP Setia berkata, Fasa Pertama akan bermula selepas memenuhi keperluan perjanjian penswastaan dan dijangka siap dalam tempoh empat tahun.

Pemaju hartanah itu berkata, Fasa Kedua pula akan bermula selepas unit Fasa Pertama diserahkan kepada DBKL. Ia dijangka siap dalam tempoh empat tahun.

"Keseluruhan pembangunan QSPH dijangka siap menjelang 2028," katanya.

SP Setia berkata, syarikat bercadang melaksanakan projek pembangunan bercampur membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM11.03 bilion, di tanah pajakan yang diperoleh Retro Highland itu.

Ia berkata, tempoh pembangunan akan mengambil masa selama 11 tahun.

"Pembangunan QSPH dan cadangan pembangunan bercampur dijangka dibiayai menerusi pinjaman bank dan dana dalaman," katanya.

Berita Harian X