Khamis, 31 Januari 2019 | 9:16am

ARK Holdings bangunkan projek RM600 juta

KUALA LUMPUR: ARK Resources Holdings Bhd (ARK Holdings), menerusi anak syarikat ARK Resources Bhd (ARB), akan melaksanakan pembangunan bersepadu pelbagai fasa dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM600 juta susulan perjanjian pembangunan usaha samanya dengan Koperasi Kampung Melayu Balik Pulau Bhd (KKMBPB).

Menurut kenyataan ARK Holdings kepada Bursa Malaysia, pembangunan yang dicadangkan itu akan dilaksanakan di kawasan seluas 36.38 hektar di daerah barat daya Pulau Pinang yang dimiliki KKMBPB.

Projek itu akan merangkumi antara lain, 276 unit rumah teres dua tingkat; 214 unit rumah berkembar dua tingkat; 91 unit banglo dua tingkat; dua blok masing-masing bagi kondominium dan pangsapuri kos rendah; kedai runcit; bazar; ruang terbuka; sekolah; masjid dan dewan komuniti.

ARK Holdings berkata, KKMBPB dan ARB bersetuju bagi nisbah kelayakan perkongsian 20:80 ke atas GDV itu.

Ia berkata, daripada kelayakan RM120 juta yang akan dibayar kepada KKMBPB, RM45 juta akan dijelaskan secara tunai manakala bakinya RM75 juta akan dibayar dalam bentuk unit, bidang, plot, lot komponen pembangunan atau 20 peratus daripada GDV tolak bayaran tunai, yang mana lebih tinggi.

ARK Holdings berkata, pembangunan itu akan dibiayai dana dalaman atau/dan pinjaman bank.

Projek itu dijangka memperkukuh perniagaan teras syarikat dalam pembangunan hartanah sejajar strateginya untuk mencari kawasan lebih strategik.

Pembangunan itu juga dijangka menjana aliran pendapatan lebih baik bagi jangka panjang. - BERNAMA

Berita Harian X