Khamis, 30 Mei 2019 | 2:39pm
AEON Co (M) Bhd (AEON).
AEON Co (M) Bhd (AEON).

AEON tumpu ubah suai pusat beli belah

KUALA LUMPUR: Rangkaian jenama runcit terkemuka, AEON Co (M) Bhd (AEON) memperuntukkan perbelanjaan modal kurang daripada RM500 juta pada tahun ini untuk pengukuhan operasinya termasuk proses pengubahsuaian pusat beli-belah sedia ada.

Pengarah Eksekutifnya, Poh Ying Loo berkata jumlah itu sedikit berkurangan berbanding purata RM600 juta hingga RM700 juta yang diperuntukkan pada tahun sebelum ini kerana AEON tidak merancang untuk membuka pusat beli-belah baharu lagi pada tahun ini selepas pembukaan AEON Nilai pada Januari lalu.

“AEON akan terus mengubah suai dan menambah baik cawangan yang terpilih selain akan mengembangkan operasi dalam perniagaan kategori baharu iaitu farmasi dan kedai harga tetap.

“Kami kekal optimis tetapi berhati-hati mengenai prestasi tahun ini kerana percaya kerajaan akan memperkenalkan inisiatif mesra pengguna yang akan memacu industri, walaupun unjuran ekonomi dan perniagaan yang tidak menentu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-34 di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusinya, Datuk Iskandar Sarudin dan Pengarah Urusan AEON, Shinobu Washizawa.

AEON meraih pendapatan RM4.354 bilion pada tahun kewangan 2018, meningkat 5.6 peratus berbanding tahun sebelumnya RM4.123 bilion.

Peningkatan itu dipacu oleh pembukaan kedai dan pusat beli-belah baharu serta sumbangan daripada kedai yang sudah dinaiktaraf bagi menyediakan pengalaman membeli-belah yang lebih baik kepada pelanggannya.

Pada masa ini, AEON mengendalikan operasi 28 AEON Mall, 34 AEON Outlet, empat MaxValu Prime Supermarket dan satu MaxValu di seluruh negara.

Sementara itu, Shinobu berkata AEON juga menunjukkan pertumbuhan yang baik dalam tawaran e-dagangnya sejak menjalin kerjasama dengan penyedia penghantaran, Honestbee dan HappyFresh pada 2018.

“Kami menyaksikan permintaan kukuh dalam segmen ini dan sehingga kini, kami mempunyai 15 cawangan yang mengambil bahagian dalam segmen e-dagang dan kami merancang untuk meningkatkan lagi jumlah cawangan pada tahun ini,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyifatkan bahawa tahun ini agak mencabar kerana sentimen perbelanjaan pengguna agak rendah.

“Bagaimanapun, kami akan terus melaksanakan strategi positif untuk mengekalkan pertumbuhan perbelanjaan di samping meningkatkan pengalaman beli-belah pelanggan,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X