Selasa, 15 Oktober 2019 | 6:35pm

TM ONE, UMW jalin kerjasama penyelesaian digital

KUALA LUMPUR: TM ONE dan UMW Corporation Sdn Bhd menandatangani Memorandum Hasrat (MoI) bagi pembangunan penyelesaian digital semalam untuk meningkatkan dan memperkasakan keperluan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) untuk industri di Malaysia.

TM ONE adalah cabang penyelesaian perniagaan Telekom Malaysia Bhd (TM), manakala UMW Corporation, milik penuh UMW Holdings Bhd.

Dalam kenyataan bersama hari ini, TM dan UMW Corporation berkata melalui kerjasama itu, TM ONE dan UMW Corporation akan memulakan aktiviti penyelidikan bersama untuk membolehkan pembangunan platform IoT (Internet of Things) Perindustrian tempatan melalui penyepaduan penyelesaian IoT UMW ke atas mesin perindustrian dengan platform perisian IoT TM ONE.

Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings, Badrul Feisal Abdul Rahim berkata dengan memanfaatkan setiap kepakaran syarikat dalam IoT, mereka akan dapat menyediakan produk dan perkhidmatan yang inovatif kepada pelanggan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin yakin kerjasama itu akan membantu menangani masalah tertentu dan memperkasakan penggiat industri untuk mengoptimumkan kecekapan mereka.

Di bawah MoI, UMW dan TM ONE akan membangunkan secara bersama penyelesaian digital berasaskan IoT menggunakan kepakaran rakan kongsi masing-masing, dengan UMW dalam mesin mekanikal, sistem kawalan dan pengesan IoT, manakala TM ONE mempunyai analisis dan perisian IoT.

“Penyelesaian ini boleh diakses melalui papan pemuka platform itu untuk jentera dan peralatan UMW yang didayakan oleh IoT seperti penjana, pemampat, pam dan turbin, yang akan memberi manfaat kepada pelbagai industri seperti sektor tenaga dan utiliti, pengangkutan, hartanah, sektor komersial dan awam,” katanya.

Katanya penyelesaian IoT gabungan UMW-TM akan menyediakan akses jauh kepada mesin melalui sistem pengurusan dan pemantauan masa nyata, selain mengoptimumkan pengurusan aset, termasuk pengurusan kumpulan, pengurusan tenaga, penggunaan dan pengurusan bencana.

“Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk mewujudkan nilai yang lebih baik dan menyokong pertumbuhan keupayaan teknologi Malaysia,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X