Rabu, 1 April 2020 | 4:56pm
QSR (M) Holdings Bhd
QSR (M) Holdings Bhd

QSR lantik Pengerusi, Pengarah Urusan baharu

KUALA LUMPUR: QSR (M) Holdings Bhd (QSR), pengendali rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut melantik Datuk Mustafha Abd Razak sebagai Pengerusi dan Nehchal Khanna sebagai Pengarah Urusan berkuat kuasa 1 April 2020.

Pelantikan itu bagi menggantikan Pengarah Urusan QSR, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, yang bersara pada 31 Mac 2020.

Sebelum menyertai QSR, Nehchal adalah penasihat perniagaan korporat syarikat perbadanan pelaburan Johor, Johor Corporation.

“Nehchal sebelum ini adalah Pengarah Urusan Pejabat Morgan Stanley di Singapura pada 2010 hingga 2016," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

QSR berkata, Nehchal berpengalaman luas termasuk memberi nasihat dalam beberapa transaksi besar bagi syarikat Malaysia termasuk Khazanah Nasional Bhd, Petronas dan Sime Darby Bhd.

Sebelum menyertai Morgan Stanley pada 2010, Nehchal adalah Pengarah Urusan Deutsche Bank di Singapura, mengetuai pelaburan perbankan Malaysia dan Indonesia.

QSR juga mengalu-alukan perlantikan Mustafha, yang mempunyai lebih daripada 24 tahun pengalaman profesional dalam sektor korporat dan perbankan di Malaysia, sebagai pengerusi baharunya.

 

Berita Harian X