Rabu, 1 April 2020 | 6:21pm
Affin Bank Bhd
Affin Bank Bhd

Wan Razly dilantik CEO AFFINBANK

KUALA LUMPUR: Affin Bank Bhd (AFFINBANK) melantik Encik Wan Razly

Abdullah Wan Ali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, berkuat kuasa 2 April 2020.

Beliau mengambil alih jawatan daripada Kamarul Ariffin Mohd Jamil yang telah menamatkan kontrak perkhidmatan pada 31 Mac 2020.

Wan Razly adalah seorang yang berpengalaman dalam bidang perbankan

komersial dan pelaburan, di Malaysia dan Indonesia.

Beliau mempunyai pengalaman lebih daripada 24 tahun dalam strategi korporat, kewangan, perbankan pelaburan, perkhidmatan perakaunan dan audit.

Memulakan kerjayanya pada 1995 bersama PricewaterhouseCoopers

yang menyediakan perkhidmatan audit kepada industri perkhidmatan kewangan di London, beliau kemudiannya menyertai Northern Trust, London pada 1999, menguruskan Jabatan Perkhidmatan Audit.

Beliau menyertai Aseambankers Malaysia (kini dikenali sebagai Maybank Investment Bank Bhd) sebagai Ketua Pembangunan Perniagaan pada 2002.

Pada 2004, Wan Razly telah menyertai CIMB Investment Bank sebagai Pengarah Penyelesaian Klien Korporat yang bertanggungjawab untuk menyediakan penyelesaian kewangan yang optimum kepada pelanggan korporat.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan di CIMB Niaga pada 2009.

Sebelum pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFINBANK, Wan Razly memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Kanan bagi salah satu kumpulan perbankan terkemuka di Malaysia.

Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam Undang-Undang dan Perakaunan dari University of Manchester, United Kingdom dan juga ahli Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW).

Berita Harian X