Khamis, 2 April 2020 | 1:17pm
British American Tobacco (BAT)
British American Tobacco (BAT)

COVID-19: Firma tembakau usaha hasilkan vaksin

KUALA LUMPUR: British American Tobacco (BAT) menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan vaksin untuk pandemik COVID-19.

Vaksin dibangunkan oleh anak syarikat BAT, Kentucky BioProcessing (KBP) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu ketika ini masih dalam ujian pra-klinikal.

BAT berkata, jika ujian berjalan lancar, pihaknya berharap mendapat sokongan daripada rakan kongsi dan agensi kerajaan bagi membolehkan KBP mengeluarkan antara satu hingga tiga juta dos vaksin seminggu bermula Jun ini.

Katanya, walaupun KBP kekal sebagai operasi komersial, matlamat penghasilan vaksin itu akan dijalankan secara tidak berasaskan keuntungan.

Vaksin dalam pembangunan dan penyelikan (R&D) itu, katanya, menggunakan teknologi tumbuhan tembakau yang mempunyai beberapa kelebihan berbanding pengeluaran teknologi vaksin konvensional.

“Ia berpotensi lebih selamat memandangkan tumbuhan tembakau tidak dapat menjadi tuan rumah patogen yang menyebabkannya penyakit manusia.

“Lebih pantas kerana unsur-unsur vaksin berkumpul di dalam tumbuhan tembakau lebih cepat, iaitu enam minggu berbanding beberapa bulan menggunakan kaedah konvensional.

“Penghasilan vaksin KBP dibangunkan untuk kekal stabil pada suhu bilik, tidak seperti vaksin konvensional yang sering memerlukan penyejukan selain mempunyai potensi untuk memberikan tindak balas imun yang berkesan dalam satu dos,” katanya dalam satu kenyataan.

BAT berkata, ketika ini ia sedang meneroka peluang kerjasama dengan agensi kerajaan untuk membawa vaksinnya itu menjalani kajian klinikal secepat mungkin.

Melalui kerjasama dengan kerajaan dan pengeluar pihak ketiga, BAT berupaya menghasilkan antara satu hingga tiga juta dos seminggu.

Pengarah Penyelidikan Saintifik BAT, Dr David O'Reilly berkata pihaknya juga turut bekerjasama dengan Pentadbiran Makanan dan Dadah AS bagi mencari panduan untuk langkah seterusnya.

“Kami juga terlibat dengan Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial UK, dan BARDA di Amerika Syarikat, untuk menawarkan sokongan dan akses kepada penyelidikan dengan tujuan untuk mencuba mempercepatkan pembangunan vaksin COVID-19.

“Pembangunan vaksin adalah kerja yang mencabar dan rumit, tetapi kami percaya sudah membuat pemecahan penting dengan platform teknologi tumbuhan tembakau dan bersiap sedia untuk bekerjasama dengan kerajaan dan semua pihak berkepentingan.

“Ia sejajar dengan hasrat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memerangi masalah global,” katanya.

O'Reilly berkata, KBP sudah meneroka penggunaan alternatif tembakau untuk tempoh yang lama dan salah satu penggunaan alternatif adalah pembangunan vaksin berasaskan tumbuhan.

Beliau berkata, BAT komited untuk menyumbang kepada usaha global menghentikan penyebaran COVID-19 melalui teknologi.

Berita Harian X