Khamis, 2 April 2020 | 3:48pm
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes

AirAsia bincang dapatkan pinjaman kerajaan

KUALA LUMPUR: AirAsia Group Bhd sedang berbincang dengan kerajaan untuk mendapatkan pinjaman bagi memberikan sokongan kepada kedudukan tunai semasa syarikat penerbangan itu di tengah-tengah persekitaran operasi yang sukar.

Syarikat itu kini menghentikan operasinya selama sebulan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga 14 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes, berkata sekatan perjalanan yang dikenakan bagi membendung penularan COVID-19 menyebabkan syarikat penerbangan seluruh dunia berdepan masalah kerana terjejas oleh jualan yang merosot.

Namun, beliau tetap yakin apabila AirAsia membuka semula jualannya akhir bulan ini.

Dalam temubual bersama Bloomberg TV, Tony berkata AirAsia mempunyai aliran tunai yang cukup untuk mempertahankan syarikat itu buat seketika dan tidak bersetuju ia perlu diselamatkan.

“Kami tidak perlukan penyelamatan. Yang jelas, banyak syarikat penerbangan mahukan pinjaman.

“Kami merasakan kedudukan tunai membolehkan syarikat bertahan untuk sebahagian besar tahun ini dan jika jualan kembali, kami akan OK. Namun, adalah baik untuk mendapatkan pinjaman dan kami sedang mengusahakannya bersama kerajaan,” katanya.

Tony juga tidak bersetuju bahawa rundingan mengenai peluang penggabungan dan pengambilalihan sedang dibincangkan, namun tidak menolak kemungkinan ia berlaku.

“Kami hanya menumpukan untuk memastikan syarikat tersusun. Ia tidak pernah dinyatakan kepada saya buat masa ini, namun pilihan itu adalah terbuka,” katanya.

Menuju ke hadapan, Tony berkata, syarikat penerbangan tidak akan memberikan tumpuan kepada pertumbuhan buat seketika, berikutan situasi ekonomi yang tidak menentu.

Namun, beliau tetap positif bahawa sektor pelancongan akan kembali meningkat apabila tiba masanya.

Mengenai syarikat sekutu AirAsia X Bhd, Tony berkata syarikat itu sedang menumpukan kepada usaha merasionalisasi angkatan pesawatnya, dengan kebanyakan penerbangan menjadi jarak sederhana.

“AirAsia X mencatatkan prestasi amat bagus sebelum COVID-19 sepanjang suku keempat dan awal Januari. Kami sedang menukar angkatan pesawat dan mengurangkan laluan menjadi jarak lebih dekat.

“Kami merasakan bakal mendapat manfaat apabila rakyat mula berjimat, justeru produk kos rendah akan menjadi lebih berdaya maju,” katanya.

Berita Harian X