Khamis, 2 April 2020 | 5:35pm
Mohamad Hafiz Kassim.
Mohamad Hafiz Kassim.

Kwasa Land lantik Pengarah Urusan baharu

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi anak syarikat milik penuhnya Kwasa Land Sdn Bhd (Kwasa Land) melantik Mohamad Hafiz Kassim sebagai Pengarah Urusan terpilih berkuatkuasa 1 April 2020.

Pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Mohd Lotfy Mohd Noh yang bersara pada hujung Mac 2020.

Kwasa Land dalam satu kenyataan berkata, Mohamad Hafiz berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang korporat yang berfokuskan bidang hartanah, pasaran modal, ekuiti swasta, perkhidmatan kewangan dan perakaunan.

Beliau akan menerajui usaha Kwasa Land sebagai pemaju induk bagi pembangunanvperbandaran Kwasa Damansara, berkeluasan 2,300 ekar yang merupakan kawasan prima terakhir di Lembah Klang yang turut menyediakan perumahan bandar, kemudahan komersial, pendidikan dan rekreasi.

“Sejak memulakan kerjayanya di KWSP pada tahun 2008, beliau sebelum ini telah menggalas beberapa jawatan utama di Bahagian Pelaburan.

“Lanjutan daripada perlantikan Mohamad Hafiz di Kwasa Land, beliau juga akan terus mengetuai bahagian pelaburan hartanah di KWSP.

“Sebelum ini, beliau telah mengetuai beberapa bahagian di KWSP termasuklah Bahagian Pasaran Modal dan Swasta (Private Markets and Capital Markets),” katanya.

Mohamad Hafiz sebelum ini pernah menyertai firma yang bereputasi seperti Daiwa Capital, PwC United Kingdom dan Malaysia, dan juga Telekom Malaysia, di mana beliau memulakan kerjaya sebagai penganalisis pelaburan.

Kenyataan itu berkata, pengetahuan dan pengalaman luas dalam industri pelaburan, Mohamad Hafiz mampu menerajui pembangunan Kwasa Damansara untuk menjadi sebuah pembangunan utama yang mampan dan turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

Mohamad Hafiz berkelulusan Ijazah Sarjana Sains (Ekonomi), jurusan Perakaunan dan Kewangan dari London School of Economics and Political Science. Beliau juga merupakan ahli badan berkelulusan professional ACCA (Association of Chartered Certified Accountants) dan pemegang CFA (Chartered Financial Analyst).

Kwasa Land diberi mandat menguruskan pelaburan hartanah KWSP terutamanya Kwasa Damansara sebagai pemaju induk strategik dalam pembangunan bercampur dengan keluasan 2,300 ekar.

Berita Harian X