Khamis, 2 April 2020 | 5:56pm
Pasar raya AEON Wangsa Maju semasa tempoh PKP
Pasar raya AEON Wangsa Maju semasa tempoh PKP

AEON kecualikan bayaran sewa sepanjang PKP

KUALA LUMPUR: AEON Retail (Malaysia) menawarkan pengecualian bayaran sewa selama 28 hari iaitu dari 18 Mac hingga 14 April 2020 kepada rakan penyewa menjalankan perniagaan tidak perlu yang tidak dapat beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shafie Shamsuddin, berkata tawaran pengecualian sewaan itu adalah tertakluk kepada terma dan syarat serta akan dinilai mengikut kes.

Pengecualian sewa itu katanya, akan dikuatkuasakan di semua 28 AEON Malls dan 18 AEON BiG Mall Hypermarket miliknya di seluruh negara.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada rakan kongsi dan peruncit kami atas sokongan berharga mereka di waktu tempoh mencabar ini dan kami memahami keadaan mereka.

“Langkah ini dibuat atas rasa sokongan kami untuk membantu mengurangkan beban kewangan rakan penyewa dengan menawarkan pengecualian sewa sewaktu tempoh PKP fasa pertama dan kedua ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegas Shafie , pihaknya juga akan terus memastikan bekalan stok mencukupi di semua pasar raya miliknya di seluruh negara sepanjang PKP fasa kedua ini dikuatkuasakan.

Pihaknya turut berterima kasih semua rakan kongsi dan pembekal yang terus memastikan penghantaran terus tidak terjejas ke semua pasar rayanya di seluruh negara.

“Sokongan berharga ini membolehkan kami menyediakan bekalan produk yang mencukupi kepada pelanggan pada setiap masa. Kami menasihati pelanggan supaya tidak melakukan pembelian panik sepanjang tempoh ini. Ini kerana, kami akan sentiasa memastikan stok sentiasa diisi di semua peringkat kedai.

"Di AEON, kami mempraktikkan penjarakan sosial dan mendesak semua pembeli untuk terus mengekalkan jarak mereka semasa membeli-belah dengan kami," katanya.

Tambahnya, kakitangan AEON ditempatkan di seluruh pusat membeli-belah untuk memastikan pelanggan mengekalkan jarak mereka.

“Terdapat kawalan dari segi bilangan pembeli yang boleh memasuki kedai kami pada satu-satu masa. Di kaunter pembayaran, pelanggan dikehendaki untuk berdiri di tempat yang ditetapkan sebelum meneruskan pembayaran,” katanya.

AEON terus mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan persekitaran beli belah yang bersih dan selamat sejajar dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, kata Shafie.

“Kakitangan kami sentiasa memastikan semua kawasan awam dibersihkan selain kaunter pembayaran, rak, troli dan kemudahan lain. AEON komited untuk memastikan pelanggan mempunyai pengalaman membeli-belah yang menyenangkan serta menenangkan fikiran.

“Semua kakitangan AEON dikehendaki memakai topeng, sarung tangan dan diberikan akses kepada pembersih tangan.

“AEON Retail akan terus menyediakan perkhidmatan perlu kepada orang ramai dengan kami akan terus mengendalikan pasaraya, farmasi, klinik, bank dan perkhidmatan kewangan, kedai serbaneka dan kebanyakan kedai F&B untuk penghantaran dan pengambilan.

“Cawangan AEON akan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam setiap hari,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X