Khamis, 9 April 2020 | 2:16pm
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Leo Chow. NSTP/Email
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Leo Chow. NSTP/Email

Lazada Malaysia perkenal Pakej Kedai Pintar bantu PKS

KUALA LUMPUR: Lazada Malaysia melancarkan Pakej Kedai Pintar membabitkan dana tunai bermula RM10 juta bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Lazada Malaysia dalam satu kenyataan, berkata Pakej Kedai Pintar yang diperkenalkan untuk tempoh dua bulan berakhir Jun ini, sebahagian daripada komitmen korporat kepada masyarakat.

“Pakej Kedai Pintar bermula dengan dana tunai RM10 juta ini bertujuan untuk menyokong kemampanan perniagaan, kestabilan sumber pendapatan pekerja dan secara langsung mengukuhkan ekonomi negara di tengah-tengah penularan COVID-19.

“Inisiatif ini bertujuan untuk memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 PKS tempatan, terutama mereka yang berada dalam kategori makanan segar dan barangan runcit, penjual e-Dagang baharu dan sedia ada, serta kedai peruncit.

“Sebagai contoh, mereka yang merancang untuk membuka gerai untuk Pasar Ramadan. PKS yang layak akan menikmati perkhidmatan penghantaran secara percuma dan menerima pembayaran mingguan secara tetap,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Leo Chow, berkata satu pasukan yang berdedikasi juga ditubuhkan untuk mengawal selia, melatih dan mengembangkan kempen jualan untuk PKS mengikut kesesuaian melalui Universiti Lazada.

Katanya, PKS daripada kategori makanan segar dan runcit, serta penjual Lazada baharu dan sedia ada juga layak mendapat komisen sifar dan yuran penyenaraian sifar serta akses kepada kemudahan pinjaman mikro.

“Melalui inisiatif ini, peruncit PKS baharu, mahupun yang tidak mempunyai banyak pengalaman dalam e-Dagang, boleh menjangkakan 100 peratus daripada kos berniaga dalam talian mereka ditanggung, mampu mempelbagaikan sumber pendapatan.

“PKS tempatan adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi negara serta kehidupan masyarakat dan dengan membantu mereka, kami berharap untuk meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia,” katanya.

“Kami ingin membantu sesiapa sahaja yang mempunyai perniagaan. Tanpa apa-apa bayaran atau caj, anda boleh terus menjalankan perniagaan dan mendapat faedah daripada kepakaran e-Dagang serta infrastruktur logistik Lazada yang bertaraf dunia,” katanya.

Chow berkata, melalui usaha yang gigih untuk memerangi COVID-19, Lazada Malaysia berusaha membantu masyarakat tempatan memanfaatkan kelebihan teknologi dan logistiknya.

“Pada awal Mac, platform e-Dagang berjaya membantu perniagaan pertanian tempatan termasuk pekebun sayur serta nelayan untuk mendigitalkan dan memenuhi pelbagai permintaan penduduk di kawasan bandar bagi produk segar dan barangan runcit semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP.

“Dalam masa kurang dari 48 jam, petani Cameron Highlands berupaya menjual 1.5 tan sayur-sayuran kepada hampir 200 isi rumah,” katanya.

Berita Harian X