Jumaat, 10 April 2020 | 3:09pm
Bank Rakyat
Bank Rakyat

COVID-19: Bank Rakyat fokus bantu koperasi, PKS terjejas

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat akan terus memberikan fokus untuk membantu koperasi, perusahaan kecil dan Sederhana (PKS) serta perniagaan mikro yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Bank koperasi Islam terbesar di negara ini itu juga akan terus menumpukan kepada segmen perniagaan teras runcit, antaranya Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i dan Ar-Rahnu.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed, berkata kempen BizCare yang dilancarkan baru-baru ini memperuntukkan dana berjumlah RM300 juta untuk tujuan berkenaan.

“Bank Rakyat telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat yang konsisten secara purata berjumlah RM1.6 bilion setiap tahun bagi lima tahun kebelakangan ini dan membolehkan kami untuk menyumbang semula kepada masyarakat dan pelanggan yang setia bersama kami selama ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, beliau berkata, hala tuju BR25 yang diumumkan sebelum ini akan dinilai semula berikutan keperluan dan kehendak segmen pelanggan pastinya berubah selepas pasca COVID-19 yang akan mengubah seluruh landskap ekonomi.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan memastikan pelantikan Pengerusi baharu Bank Rakyat adalah dari kalangan profesional dan hanya calon yang terbaik akan dilantik.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pelantikan itu juga tertakluk kepada proses pengesahan kriteria layak dan sesuai yang dijalankan bersama pihak berkaitan termasuk Bank Negara Malaysia bagi memastikan calon berkenaan berkeupayaan untuk mengawasi bank secara strategik.

Katanya, Bank Rakyat akan mematuhi standard tadbir urus yang tinggi seperti mana yang diharapkan oleh pemegang kepentingan dan anggota.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X