Jumaat, 10 April 2020 | 6:10pm
Tesco perkenal perkhidmatan Pesan & Ambil
Tesco perkenal perkhidmatan Pesan & Ambil

Tesco lancar khidmat pesanan barang melalui WhatsApp

KUALA LUMPUR: Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd melancarkan perkhidmatan Pesan & Ambil, di mana pelanggan boleh membuat pesanan untuk barangan keperluan dapur melalui WhatsApp dan mengambil pada hari yang sama.

Tawaran baharu yang boleh didapati di 53 daripada 60 cawangan Tesco di seluruh negara akan melengkapkan perkhidmatan penghantaran Tesco Online.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco, Paul Ritchie, berkata perkhidmatan itu alternatif yang baik untuk pelanggan yang mahukan pengalaman membeli-belah tanpa kerumitan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Di Tesco, kami bekerja sepanjang masa untuk membantu dan memastikan keluarga pelanggan mempunyai akses kepada barangan keperluan dapur yang mereka perlukan, terutama semasa PKP,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, melalui perkhidmatan Pesan & Ambil baharu, pelanggan boleh mengurangkan masa pendedahan mereka di luar di samping mengekalkan penjarakan sosial. 

Perkhidmatan ini, yang telah dilancarkan di cawangan kami pada awal minggu ini telah menyaksikan lebih 1,000 pelanggan memilih untuk Pesan & Ambil,” kata Ritchie.

Melalui Pesan & Ambil, pelanggan boleh menghubungi cawangan Tesco terdekat dan membuat pesanan menerusi WhatsApp. 

Buat masa ini, setiap cawangan Tesco hanya dapat mengambil 100 pesanan pertama sehari, dengan maksimum 25 barangan keperluan dapur setiap pesanan.

Apabila menerima pesanan pelanggan, seorang Pembeli Peribadi Tesco akan memberi anggaran masa pengambilan dan menghantar kod bar peribadi untuk harga keseluruhan melalui WhatsApp. 

Pelanggan kemudian boleh datang ke cawangan Tesco yang dipilih, teruskan ke kaunter bayaran khusus untuk Pesan & Ambil, menunjukkan kod bar dan bayar sama ada melalui wang tunai, kad debit, kad kredit atau e-dompet.

Pelanggan boleh membuat pesanan melalui WhatsApp pada bila-bila masa antara pukul 8 pagi hingga 4 petang setiap hari, dengan pengambilan sebelum 6 petang pada hari yang sama. 

Tiada caj perkhidmatan tambahan dikenakan untuk perkhidmatan itu.

Perkhidmatan Pesan & Ambil boleh didapati di kebanyakan cawangan Tesco di Lembah Klang iaitu Ampang, Ara Damansara, Bukit Beruntung, Kepong, Rawang, Wangsa Walk, Kajang, Semenyih, Bangi, IOI City, Klang, Klang, Nilai, Jenjarom, Bukit Puchong, Kuala Selangor, Paradigm, Puncak Alam, Setia Alam dan Shah Alam.

Di luar Lembah Klang, perkhidmatan ini boleh didapati di Seremban 2, Seremban Jaya, Lukut, Melaka Cheng, Parit Raja, Extra Plentong, Setia Tropika, Eco Tropika, Bahau, Bukit Indah, Mutiara Rini, Seri Alam, Sungai Petani, Sungai Petani, Tanjung Pinang, Ekstra Ipoh, Stesen 18, Stargate, Extra Penang, Mergong, Seri Iskandar, Manjung, Bertam Perdana, Kulim, Kota Bharu, Taiping, Penang Hyper, Bagan Ajam, Kampar, Bukit Mertajam, Ipoh, Extra Seberang Jaya, Jitra dan SP Selatan.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X