Rabu, 22 April 2020 | 1:16pm
Sime Darby Property
Sime Darby Property

Sime Darby Property umum pengurusan kanan

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd mengumumkan lantikan barisan pengurusan kanan baharu, termasuk Datuk Azmir Merican Azmi Merican sebagai Pengarah Urusan Kumpulan baharu berkuat kuasa serta-merta.

Dalam satu kenyataan, ia berkata Azmir sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta Bhd dan mempunyai rekod prestasi baik.

“Antara kepakaran beliau termasuk dalam aspek transformasi organisasi, penyusunan semula perniagaan, kecekapan operasi dan kewangan korporat.

“Beliau turut menerajui transformasi UEM Edgenta ketika ini sebagai syarikat yang dipacu teknologi dalam sektor perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan, hartanah dan penyelesaian kemudahan selain infrastruktur,” katanya.

Susulan lantikan Azmir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Wan Hashimi Albakri Wan Ahmad Amin Jaffri akan menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Perbandaran syarikat itu.

Selain itu, Sime Darby Property turut mengumumkan pelantikan Mohd Sohimin Mohd Alayedin yang sebelum ini Pengarah Eksekutif Tropicana Corporation Bhd, sebagai ketua pegawai projek-projek khas.

Mohd Sohimin berpengalaman lebih 29 tahun dalam pembangunan dan pembinaan hartanah dan pernah memegang jawatan kanan di pelbagai syarikat termasuk Glenmarie Properties Sdn Bhd, anak syarikat DRB Hicom Bhd; Kumpulan Hartanah Selangor Bhd dan Sunway City Bhd.

Syarikat itu turut mengumumkan pelantikan Izzat Alhadjri sebagai pemangku komunikasi korporat berkuat kuasa pada 1 April yang bertanggungjawab menyelia keseluruhan spektrum komunikasi korporat syarikat termasuk media dan hubungan awam, prestasi sosial, hubungan kerajaan serta pengurusan pihak berkepentingan secara menyeluruh.

Berita Harian X