Jumaat, 22 Mei 2020 | 2:09pm
Pengasas dan Penasihat Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow - Foto ihsan Public Bank
Pengasas dan Penasihat Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow - Foto ihsan Public Bank

Untung suku pertama Public Bank RM1.82 bilion

KUALA LUMPUR: Kumpulan Public Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM1.73 bilion pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2020, susut 5.1 peratus berbanding RM1.82 bilion yang diraih bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Keuntungan bersih milik pemegang sahamnya pula berkurangan 5.7 peratus kepada RM1.33 bilion.

Berikutan itu, Public Bank mencatatkan pulangan ekuiti bersih yang lebih rendah sebanyak 12.5 peratus.

Pengasas dan Penasihat Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, berkata ekonomi dunia tahun ini bermula dengan cabaran besar berikutan pandemik COVID-19 dan lebih buruk dengan harga petrol yang menjunam.

"Penurunan kadar dasar semalaman (OPR) memberi kesan ke atas margin faedah bersih di mana bank tempatan berdepan dengan tekanan perolehan yang memuncak pada suku pertama 2020," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, katanya kumpulan mengekalkan asas yang kukuh, sebagaimana yang ditunjukkan dalam nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar stabil sebanyak 0.5 peratus dan nisbah kos kepada pendapatan yang cekap sebanyak 35.7 peratus pada suku dikaji.

"Walaupun aktiviti ekonomi terkesan oleh penularan dan langkah untuk mengekangnya, pertumbuhan pinjaman serta deposit terus dicapai pada suku pertama 2020, walaupun pada kadar pertumbuhan lebih sederhana," katanya.

Pada suku pertama tahun ini, Public Bank mencatatkan kadar tahunan jumlah pinjaman sebanyak 2.9 peratus, disokong oleh pembiayaan hartanah kediaman, pembiayaan hartanah komersial dan pembiayaan kenderaan penumpang.

Dari segi pengambilan deposit, jumlah deposit pelanggan mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak dua peratus.

Pada suku dikaji, pendapatan bukan faedah kumpulan terus disokong oleh pendapatan berkaitan unit amanah, pendapatan fi perbankan, pendapatan pelaburan dan pendapatan brokeraj.

Mengulas lanjut, Hong Piow berkata, 2020 akan lebih mencabar dan perolehan akan berada di bawah tekanan kepada semua bank.

Mengenai prospek tahun ini, Hong Piow berkata, persekitaran operasi bagi industri perbankan dijangka lebih mencabar, dengan keadaan ekonomi yang amat sukar dan penurunan OPR.

"Keadaan ekonomi semasa yang lemah dan ketidaktentuan berikutan landskap ekonomi yang masih berkembang menyaksikan kumpulan akan menumpukan untuk memperkukuhkan kekuatannya dari segi pengurusan risiko dan produktiviti," katanya.

Berita Harian X