Jumaat, 22 Mei 2020 | 4:46pm
Sime Darby Plantation Bhd
Sime Darby Plantation Bhd

Untung bersih Sime Darby Plantation meningkat

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sime Darby Plantation Bhd meningkat kepada RM394 juta pada suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2020. daripada RM90 juta pada suku pertama 2019.

Perolehan naik kepada RM3.04 bilion daripada RM2.99 bilion sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata prestasi baik itu disebabkan sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi huluan dan Sime Darby Oils (hiliran) dan kos pembiayaan yang lebih rendah.

"Dengan usaha berterusan kami untuk meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kos, Sime Darby Plantation dapat memanfaatkan daripada harga rendah minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) untuk mencatatkan hasil yang memuaskan untuk suku pertama 2020.

"Bagaimanapun, kumpulan menyedari ia akan terus menghadapi persekitaran yang mencabar ketika negara-negara di seluruh dunia bergelut dengan penularan COVID-19 dan menguruskan kesan ekonomi akibat wabak itu," kata Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Othman.

Menjadi ramuan utama bagi produk makanan dan bukan makanan, permintaan minyak sawit akan kekal kukuh untuk tempoh jangka panjang, katanya.

Kumpulan ini juga percaya bahawa fokusnya kepada strategi menghasilkan nilai dan pengurusan kos yang berhemah akan terus metakkan operasi dan kewangannya dalam kedudukan memuaskan untuk menghadapi cabaran pada masa depan.

Sementara itu, pihaknya juga menilai potensi terhadap kesan akibat pandemik COVID-19 terhadap operasi dan prestasi kewangannya, termasuk peningkatan risiko pelanggan menangguhkan kontrak, risiko kredit pelanggan dan ketidakstabilan kerana tukaran wang asing yang tidak menentu.

Mengenai unjuran syarikat, ia berkata prestasi kumpulan untuk tahun kewangan 2020 yang berakhir pada 31 Disember 2020 akan dipengaruhi oleh kelemahan harga MSM dan isirung sawit serta hambatan operasi, sekiranya pandemik berlanjutan terus mempengaruhi aktiviti perniagaan global.

-BERNAMA

Berita Harian X