Jumaat, 10 Mei 2019 | 6:28pm
Pengarah MATRADE Bahagian ASEAN dan Oceania, Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman. - Foto Saifullizan Tamadi

Misi MATRADE ke Makassar jana potensi eksport lebih RM30 juta

KUALA LUMPUR: Misi eksport anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) ke Makassar, Indonesia, pada bulan lalu menjana potensi nilai eksport lebih RM30.1 juta.

Misi Peningkatan Eksport (EAM) dari 23 hingga 25 April lalu ke bandar Indonesia tahap kedua itu menyaksikan penyertaan daripada 17 syarikat Malaysia dari pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, gaya hidup, perkhidmatan pembinaan, penjagaan kesihatan serta tekstil dan pakaian.

Dalam kenyataan, MATRADE berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia, dengan bantuan daripada pejabat agensi itu di Jakarta, dipadankan dengan rakan yang berpotensi dari wilayah Sulawesi Selatan. Sebanyak 121 pertemuan perniagaan telah diadakan.

EAM adalah sebahagian daripada strategi MATRADE untuk memperluaskan operasi syarikat Malaysia di Indonesia.

Pengarah Bahagian ASEAN dan Oceania, Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman, berkata agensi itu melihat Makassar sebagai pintu masuk untuk menembusi pasaran Sulawesi, yang mempunyai seramai 18 juta penduduk.

“Bandar itu memainkan peranan strategik sebagai hab kepada pengangkutan melalui darat, laut dan udara, dan ini kondusif untuk menyokong aktiviti perdagangan,” katanya.

Makassar mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak tujuh peratus setahun, lebih tinggi daripada lima peratus yang dicapai oleh seluruh Indonesia.

Raja Badrulnizam berkata, pengeksport Malaysia mempunyai kelebihan disebabkan banyak persamaan dari segi budaya antara Malaysia dan Indonesia, yang membawa kepada penerimaan pasaran kepada produk dan perkhidmatan dari Malaysia.

“Maklum balas yang kami terima daripada 90 syarikat Indonesia yang menyertai misi ini amat menggalakkan, dengan ramai yang menyatakan minat untuk memperluaskan kerjasama mereka dengan syarikat Malaysia,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X