Isnin, 19 Ogos 2019 | 5:08pm
PRESIDEN Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan (kanan) di sidang media berkaitan PKMM mahu pembukaan Kelas G1 Bumiputera ditangguhkan di Pejabat PKMM, Seri Utara Business Park, Batu Caves. - Foto Salhani Ibrahim

PKMM minta tangguh buka pendaftaran Kontraktor G1

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menangguhkan keputusan membuka semula pendaftaran Kontraktor G1 (Bumiputera) pada 1 September ini dengan mengambil kira perkembangan ekonomi semasa.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan, berkata penangguhan itu penting bagi mengelakkan lambakan kontraktor berstatus berkenaan yang kini mencecah 20,439 orang berdepan kesukaran mendapatkan projek.

“PKMM menyarankan kerajaan menangguhkan keputusan ini kepada tempoh masa yang difikirkan sesuai selepas keadaan ekonomi benar-benar stabil.

“Apa yang disuarakan PKMM ini penting untuk dinilai kerajaan memandangkan rekod Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menunjukkan hanya 1,014 daripada 20,439 kontraktor G1 Bumiputera mendapat projek bernilai RM55.4 juta dari Jun 2018 hingga April 2019.

“Situasi ini jelas menunjukkan pembukaan perdaftaran baharu akan menimbulkan masalah bukan hanya kepada kontraktor G1 Bumiputera sedia ada malah juga kepada mereka yang baharu berdaftar yang jelas sukar mendapat kontrak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden PKMM, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz.

Mohamed Fadzill berkata, hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai kontraktor Bumiputera dialu-alukan, tetapi berdasarkan situasi semasa ia bukanlah masa yang sesuai berbuat demikian.

Sehubungan itu, PKMM mencadangkan kerajaan mempertimbangkan dua cadangan termasuk mengaktifkan pakej khas dan Wang Peruntukan Sementara (WPS) bagi setiap projek kerajaan yang dikendalikan oleh pegawai penguasa (SO).

“Pertama, kerajaan perlu memperuntukan 10 hingga 20 peratus bagi jumlah setiap projek mega dikendalikan Kontraktor G7 dimasukkan dalam WPS untuk disalurkan kepada Kontraktor G1 dan G2 Bumiputera yang dibuat secara undi.

“Kedua, kerajaan perlu memastikan kerja-kerja untuk Kontraktor G1 ini hanya diberikan kepada Bumiputera bagi memastikan platform keusahawanan dalam industri pembinaan dapat diperkukuhkan.

“Inilah justifikasi kami supaya kerajaan menangguhkan pendaftaran baharu kerana perancangan rapi perlu dibuat bagi memastikan kelangsungan kontraktor Bumiputera,” katanya.

Jemaah Menteri pada 14 Ogos lalu bersetuju pendaftaran Kontraktor G1 (Bumiputera) dibuka semula pada 1 September ini.

Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam kenyataan bersama berkata, ia akan memberi peluang kepada kontraktor baharu Bumiputera terutama generasi muda berkelayakan teknikal terbabit lebih aktif dalam industri pembinaan khususnya mengendalikan projek kerajaan.

322 dibaca
Berita Harian X