Isnin, 19 Ogos 2019 | 8:14pm
Ketua Pengarah, Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong, Pentadbiran Khas Wilayah Kerajaan Hong Kong, Kin-wai Law. NSTP/Mustaffa Kamal

Kerjasama Hong Kong bangunkan negara ASEAN

KUALA LUMPUR: Hong Kong menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama menyalurkan kepakaran dan keupayaan dalam bidang teknologi serta membantu membangunkan ekonomi negara ASEAN menerusi perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Ketua Pengarah Pejabat Perdagangan dan Ekonomi Hong Kong, Kin-wai Law, berkata secara dasarnya Singapura dan Malaysia mempunyai pengalaman luas di pentas antarabangsa dan memiliki lebih banyak pendedahan terhadap faktor luaran.

“Ini memberi kelebihan kepada kami untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan kepada negara ASEAN, sekali gus membantu negara anggotanya meningkatkan tahap dan platform kemahiran bernilai tinggi.

“Dari segi geografi, sudah tentu ASEAN mendahului Hong Kong. Namun, saya pasti fokus dan arah kita adalah sama, iaitu membuka lebih banyak peluang ekonomi bagi kedua-dua pihak.

“Saya rasa ASEAN, apabila menyentuh mengenai pembangunan, ia melangkah lebih baik daripada tahap biasa. Ini petanda positif yang kita lihat berlaku di rantau ini ketika ini,” katanya ketika mengunjungi NSTP di Balai Berita, baru-baru ini.

Perjanjian asas FTA ASEAN-Hong Kong, China (HKC) dimeterai pada November 2017 membabitkan 10 negara anggota ASEAN dan HKC ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-31.

Ia bertujuan mencipta peluang perdagangan yang lebih besar bagi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Hong Kong, sebuah wilayah pentadbiran khas China, adalah antara kuasa perdagangan utama dunia dan rakan perdagangan keenam terbesar ASEAN.

Ia menjadikan perjanjian pelaburan dan perdagangan sangat strategik bagi kedua-dua pihak, terutama bagi ekonomi mikro, kecil dan sederhana di rantau ASEAN.

Ditanya bilakah FTA ASEAN-HKC akan dimuktamadkan, Law berkata, selepas memeterai perjanjian itu pada 2017, setiap negara perlu melalui proses mendapatkan penjelasan yang diperlukan bagi melengkapkan prosedur.

“Kurang dua bulan yang lalu, kami mengadakan mesyuarat bersama wakil antara dua pihak dan semua bersetuju untuk menubuhkan pasukan khas bagi meneliti pelaksanaan ini.

“Yang pasti, saya tidak boleh jangka bila ia akan dimuktamadkan, namun saya pasti ia (FTA) akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau juga mahu semua pihak menumpukan kepada matlamat sebenar perjanjian itu dan memberi kesan segera kepada hubungan ekonomi dua hala.

“Rakyat Hong Kong dan ASEAN sangat pragmatik, jadi kita harus fokus kepada matlamat sebenar. Sudah pasti terdapat sedikit kesulitan namun kami mahu nyatakan bahawa dasar di bawah FTA ini akan mencipta lebih banyak peluang kepada ahli perniagaan kedua-dua pihak,” katanya.

FTA ASEAN-HK merangkumi perdagangan bagi barangan, peraturan asal, langkah bukan tarif, prosedur kastam dan kemudahan perdagangan, pemulihan perdagangan, halangan teknikal kepada perdagangan, langkah kebersihan dan fitosanitasi, perdagangan dalam perkhidmatan, hak harta intelek serta kerjasama ekonomi dan teknikal.

Menyentuh hubungan dagangan antara Hong Kong dan Malaysia, Law berkata, pertumbuhan perdagangan antara kedua-dua negara menunjukkan peningkatan kukuh tahun ke tahun dengan jumlah dagangan Hong Kong-Malaysia kira-kira AS$200 juta (RM835 juta) pada 2018.

42 dibaca
Berita Harian X