Selasa, 20 Ogos 2019 | 2:37pm

Persaingan pengeluar minyak AS, Asia Barat meningkat

SINGAPURA: Persaingan antara pengeluar minyak Amerika Syarikat (AS) dan Asia Barat meningkat setahap lagi apabila minyak mentah AS membuat kemunculan di tengah-tengah Asia, yang dianggap sebagai pasaran tenaga paling bernilai di dunia.

Royal Dutch Shell Plc menawarkan kargo minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Midland yang ditetapkan pada harga penanda aras Dubai pada kemunculan sulungnya di platform dagangan S&P Global Platts, demikian menurut dua peniaga dan data yang dikumpulkan oleh Bloomberg.

Tawaran itu, yang dijadual akan dihantar ke Singapura atau Linggi dan Nipah di Malaysia, berbanding penanda aras minyak Asia Barat, menjadikannya bersaing secara terus dengan gred minyak Teluk yang dikeluarkan di Arab Saudi, Abu Dhabi serta Qatar.

Satu ketika dianggap hanya urus niaga sekali saja, aliran masuk minyak AS ke Asia meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Ia satu lagi kemasukan menarik ke pasaran minyak yang mungkin membangkitkan selera sebahagian pembeli di Asia,” kata Ketua Ahli Strategi JTD Energy Services Ltd di Singapura, John Driscoll.

“Mengambil kira bahawa eksport minyak mentah AS semakin meningkat, langkah ini boleh mengganggu pembekal tradisional di Asia Barat.”

Walaupun penghantaran gred minyak AS seperti WTI Midland dan Eagleford kebiasaannya ditetapkan pada harga penanda aras AS, tawaran Shell itu menjadikan lebih mudah bagi pembeli membandingkannya dengan minyak berkualiti serupa yang biasanya diambil oleh syarikat penapisan Korea Selatan, Jepun serta China.

Minyak mentah itu boleh dihantar ke kapal lain di Selat Melaka berhampiran Singapura, menjadikannya lebih mudah bagi pembeli di serata Asia.

Eksport AS mengecilkan penguasaan minyak mentah Asia Barat di Asia, pada ketika Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan syarikat sekutunya mengehadkan output dalam usaha menaikkan harga.

Import Korea Selatan dari AS meningkat kepada kira-kira 8.5 juta tong pada Jun, berbanding tiga juta tong setahun sebelumnya. - Bloomberg

75 dibaca
Berita Harian X