Ahad, 15 Disember 2019 | 7:18pm
CELCOM Axiata Bhd.
CELCOM Axiata Bhd.

Celcom terokai teknologi 5G di Langkawi

KUALA LUMPUR: Celcom Axiata Bhd akan melaksanakan penggunaaan teknologi 5G untuk penyelesaian keamanan dan keselamatan Bandar Pintar bertujuan meningkatkan operasi harian peniaga dan pihak berkuasa tempatan, serta memperkasa gaya hidup pengguna secara digital di Langkawi

Dalam satu kenyataan, Celcom Axiata berkata, kerjasama Celcom, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Langkawi dan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) telah melaksanakan kes-kes kegunaan keselamatan 5G Bandar Pintar terkini, yang menampilkan kecanggihan dalam keberkesanan keselamatan dan pemantauan menerusi video panorama 360 ° UHD 4K iaitu kamera pengawasan yang dipasang di Pantai Cenang, yang terkenal dengan keindahannya di Langkawi.

Katanya, penyelesaian Bandar Pintar 5G Celcom ditempatkan di empat lokasi di sepanjang Jalan Pantai Cenang dan dua lokasi di Dataran Cenang, Langkawi.

“Penyelesaian Keamanan dan Keselamatan Bandar Pintar 5G Celcom dilengkapi dengan keupayaan kepintaran buatan (AI) dan analisis video yang memanfaatkan keupayaan 5G kependaman rendah serta data berkelajuan tinggi, membolehkan pemantauan masa nyata dan kualiti gambar berdefinisi tinggi.

“Selain itu, Celcom akan memperluaskan kes-kes kegunaan 5G yang turut meliputi Pertahanan Digital di sempadan perairan, Pemantauan Kawalan Orang Ramai, Kawalan Digital Kargo Masuk dan Keluar, Sistem Pengurusan Perkapalan, Geo Fencing & Smart Perimeters dan Akses Tetap tanpa wayar 5G,” katanya

Teknologi 5G dijangka memberi pengalaman keterhubungan kepada pengguna dan perniagaan dengan pengalaman berbeza, di mana ujian awal 5G Celcom di Langkawi mencatatkan kelajuan penghantaran hampir 1.5Gbps dan kependaman selama 16 milisaat.

Menurut Celcom Axiata, rangkaian 5G Celcom di Langkawi menggunakan teknologi 5G New Radio yang mempunyai spektrum C-band, Massive Multiple-Input dan Multiple Output (MIMO 64T64R) menerusi teknologi Peralatan Premis Pelanggan (CPE) 5G.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata, Idham Nawawi, berkata, Celcom teruja dapat bekerjasama dengan PDRM Langkawi dan pihak berkuasa tempatan seperti MPLBP dalam menerajui pembangunan dan kegunaan 5G untuk Malaysia.

Katanya, kerjasama Celcom dengan PDRM dan MPLBP di Langkawi membolehkan mereka mewujudkan bandar raya yang lebih selamat dengan penggunaan teknologi 5G.

“Penyelesaian Pintar Keselamatan 5G kami membolehkan sistem pengawasan keselamatan ditingkatkan untuk unit penguatkuasa serta menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan lebih selamat.

"Terdapat banyak kes-kes kegunaan 5G, yang boleh dimanfaatkan oleh perusahaan, pihak berkuasa, sektor swasta dan awam, bahkan kami berharap dapat bekerjasama dengan mereka untuk membangunkan perkhidmatan 5G yang terbaik.

“Sejajar dengan revolusi industri keempat (IR4.0) Celcom akan terus menyokong negara dalam menjadikan aspirasi ini suatu realiti, kami berhasrat komitmen kami di Langkawi akan menyumbang kepada pembangunan ekosistem digital negara," katanya.

Baru-baru ini, Celcom telah dilantik oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai Rakan Perhubungan Rasmi untuk Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020, membolehkan syarikat-syarikat Malaysia permulaan digital dan berkaitan IR4.0 mempamerkan teknologi seperti Wi-Fi 5G kepada wakil-wakil negara luar sepanjang tahun 2020.

Berita Harian X