Isnin, 2 March 2020 | 10:34am
KETUA Pegawai Operasi MyGO, S Muraliraj (kiri) ketika ditemui pada majlis pelancaran Hab MyGO Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto NSTP
KETUA Pegawai Operasi MyGO, S Muraliraj (kiri) ketika ditemui pada majlis pelancaran Hab MyGO Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto NSTP

MyGO lebar operasi ke Borneo, lancar MyGO Meal

KUALA LUMPUR: MyGO, syarikat e-hailing baharu di pasaran tempatan yang dikendalikan oleh SACKZ Exclusive Sdn Bhd, merancang untuk melebarkan operasinya ke Borneo menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Operasinya, S Muraliraj, berkata selepas mencatatkan prestasi membanggakan di Malaysia, syarikat juga sedang meninjau peluang di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Brunei dan wilayah di Indonesia seperti Pontianak.

“Operasi perkhidmatan kami semakin meningkat dari segi keuntungan dan sudah tiba masanya untuk kami melabur di kawasan baru seperti Borneo.

“Malah, matlamat untuk mencapai 30,000 pemandu pada tahun ini juga berada di landasan tepat memandangkan kini kami memiliki hampir 10,000 pemandu aktif,” katanya selepas melancarkan Hab MyGO Peringkat Kebangsaan di sini, baru-baru ini.

MYGO kini bertapak di semua 14 negeri dalam tempoh hanya lima bulan, sejak ia dilancarkan pada September 2019.

Dalam pada itu, Muraliraj berkata, MyGO sentiasa berusaha menyediakan lebih banyak perkhidmatan baru kepada penggunanya dengan memperkenalkan perkhidmatan penghantaran makanan pada Mac depan.

KETUA Pegawai Operasi MyGO, S Muraliraj (kiri) ketika ditemui pada majlis pelancaran Hab MyGO Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto NSTP
KETUA Pegawai Operasi MyGO, S Muraliraj (kiri) ketika ditemui pada majlis pelancaran Hab MyGO Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto NSTP

"Berikutan kerjasama yang baik dengan PROTON pada tahun lalu, kami memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan EV Malaysia (EVAM) untuk memperkenalkan MyGO Meal, perkhidmatan penghantaran bermotosikal yang akan bermula di Sarawak.

"Melalui perkongsian ini, EVAM akan menyediakan beberapa skuter elektrik kepada pemandu untuk digunakan dalam perkhidmatan penghantaran makanan," katanya.

Sebelum ini, MyGo menawarkan kereta Proton Saga 1.3 melalui skim sewa kepada pemilik yang berdaftar di bawah syarikat itu.Muraliraj berkata, untuk tahun ini, syarikat merancang untuk memperkenalkan skim baru kepada pemandunya.

"Selepas memperkenalkan pelbagai skim seperti pemilikan kereta dan saham syarikat percuma, MyGO ingin memperkenalkan skim insentif pemandu baru kepada pemandu kami.

"Skim baru ini akan menawarkan pendapatan pasif kepada pemandu kami, termasuk wang persaraan dan skim lain yang boleh diwarisi menerusi pembayaran komisen 0.3 peratus daripada pendapatan bulanan pemandu yang diperkenalkan,” katanya.

Berita Harian X