Selasa, 3 March 2020 | 5:46pm

Penurunan OPR sokong pertumbuhan ekonomi

KUALA LUMPUR: Pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.50 peratus menepati jangkaan ahli ekonomi, yang disifatkan langkah wajar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi di tengah-tengah impak penularan COVID-19.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed, berkata pengurangan kadar penanda aras pinjaman tempatan itu adalah sejajar dengan jangkaan pasaran berikutan penularan COVID-19 dan ketidaktentuan global memberi kesan terhadap banyak ekonomi.

“Kita sedang menuju ke arah rejim kadar faedah yang lebih rendah kerana semakin banyak bank pusat mengurangkan kadar untuk mengekalkan momentum pertumbuhan,” katanya kepada BH.

Shan juga mengunjurkan akan berlaku dua lagi pengurangan OPR tahun ini.

Beliau berkata, tahun ini saja, tujuh bank pusat di seluruh dunia sudah mengurangkan kadar mereka.

“Tahun lalu, 47 bank pusat mengurangkan kadar mereka untuk menyokong trajektori pertumbuhan.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2020 dijangka kekal antara 4.4 peratus dan 4.8 peratus tahun ini dan ringgit berlegar sekitar RM3.97 hingga RM4.30 berbanding satu dolar AS,” katanya.

Beliau berkata, hasrat strategik bank pusat adalah untuk menyokong pertumbuhan, permintaan agregat dan paling penting, kestabilan harga untuk mengekalkan momentum ekonomi dalam aliran meningkat.

Katanya, pengurangan OPR itu memberikan isyarat kepada pasaran bahawa BNM sanggup mengurangkan lagi kadar apabila diperlukan oleh ekonomi.

“Kerajaan masih mempunyai ruang untuk bergerak menerusi dasar monetari dan fiskal untuk merangsang pertumbuhan dan mengekalkan kestabilan makroekonomi pada tahap yang lebih besar.

“Keyakinan ekonomi dapat membantu mengekalkan penggunaan, membawa masuk pelaburan, tindakan kerajaan dan keseimbangan eksport-import yang positif,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata penurunan OPR itu adalah sesuatu yang positif memandangkan ia bakal menyuntik keyakinan bahawa dasar monetari yang akomodatif akan menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi kos pinjaman yang kompetitif.

Beliau berkata, aktiviti pelaburan dan penggunaan seharusnya dapat digalakkan menerusi pengurangan OPR di samping pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan baru-baru ini.

Pihaknya juga percaya terdapat kemungkinan akan ada lagi pengurangan OPR selanjutnya.

MIDF Research dalam nota penyelidikannya pula berkata, langkah pengurangan OPR oleh BNM itu adalah mengejutkan dari segi tempoh ia dilaksanakan kerana ia mengunjurkan pengurangan selanjutnya dilaksanakan pada Mei ini selepas pengurangan dibuat pada Januari lalu.

Tambahan lagi, katanya, ia berpandangan bank pusat akan membiarkan pakej rangsangan ekonomi untuk memberikan kesan terlebih dulu.

“Kami menjangkakan tidak akan ada lagi pengurangan kadar akan dibuat tahun ini. Kami berpandangan, satu pengurangan dibuat tahun lalu dan dua potongan tahun ini adalah mencukupi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia terutama menerusi penggunaan swasta dan pelaburan.

“Selain pelonggaran monetari dan pengembangan dasar fiskal, kami berpandangan pasaran kerja yang stabil dan tekanan inflasi yang rendah akan menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Ahli Ekonomi OCBC Bank, Wellian Wiranto menjangkakan satu lagi pengurangan kadar pada Mei ini sekiranya penularan COVID-19 dan kebimbangan politik terus memberi kesan kepada pertumbuhan.

“Sudah tentu, sekiranya Rizab Persekutan AS (Fed) mengurangkan kadar dalam minggu mendatang ini, kemungkinan pengurangan kadar oleh BNM untuk kali ketiga tahun ini akan meningkat dengan ketara,” katanya.

Berita Harian X