Khamis, 19 March 2020 | 6:06pm
MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz
MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz

Pakej rangsangan bantu PKS, individu terkesan

PUTRAJAYA: Kerajaan terus membantu individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menghadapi penularan COVID-19 melalui pakej rangsangan ekonomi 2020 (PRE2020).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, PRE2020 akan memastikan risiko ekonomi akibat penularan wabak ini dapat ditangani dengan berkesan berdasarkan strategi yang telah digariskan.

Beliau berkata, kerajaan turut menyediakan beberapa tabung pembiayaan kewangan bagi individu dan syarikat PKS yang terkesan.

Kerajaan, katanya sangat prihatin terhadap kesan negatif yang diakibatkan oleh penularan COVID-19 yang telah menjejaskan antara lain individu serta PKS.

“Kementerian Kewangan juga sentiasa bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia bagi memastikan pasaran modal dan kewangan terus berfungsi secara telus dan teratur.

“Pelbagai langkah sudah diambil untuk memastikan individu dan syarikat PKS yang terkesan diberi sokongan yang berpatutan.

“Selain peruntukan untuk membantu PKS mengekalkan operasi perniagaan, melindungi pekerjaan dan menggalakkan pelaburan domestik, bank tempatan juga turut mengambil langkah-langkah untuk menyokong individu dan syarikat PKS yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Zafrul berkata, pelbagai bantuan khas, kemudahan pinjaman, kemudahan penyusunan dan penjadualan semula serta moratorium selama enam bulan untuk perniagaan, PKS dan individu telah diperuntukkan.

Di samping itu, beliau berkata, kerajaan juga amat prihatin terhadap keadaan kesihatan rakyat dan beberapa syarikat insurans dan pengendali takaful telah mengambil inisiatif bagi membantu meringankan beban kepada pemegang polisi dengan memanjangkan faedah insurans bagi pencarum yang terkesan COVID-19.

Katanya, kerajaan juga mengambil maklum dan prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi oleh semua pembayar cukai.

“Oleh itu, beberapa langkah telah diambil oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi memastikan pembayar cukai dapat mengatur semula urusan percukaian dan seterusnya meringankan kesulitan yang mereka hadapi.

“Kementerian Kewangan dan agensi-agensi di bawahnya akan terus bekerjasama dengan sektor kewangan dan pelaburan untuk mengkaji pelaksanaan PRE2020 dan langkah-langkah seterusnya bagi membantu dan menyokong perniagaan dan isi rumah mengikut keperluan semasa,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X