Selasa, 7 April 2020 | 12:29pm
Pengusaha dodol, Mohd Ramli Bakari, 60 (kanan) bersama isteri, Normi Ramli, 49, menonton siaran langsung perutusan khas oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. NSTP/Sharul Hafiz Zam
Pengusaha dodol, Mohd Ramli Bakari, 60 (kanan) bersama isteri, Normi Ramli, 49, menonton siaran langsung perutusan khas oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. NSTP/Sharul Hafiz Zam

Pakej serampang dua mata bantu PKS, pekerja

KUALA LUMPUR: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) PKS Tambahan bernilai RM10 bilion adalah strategi serampang dua mata untuk mengurangkan tekanan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membayar pampasan pekerja selain menjamin kestabilan pekerjaan.

MIDF Research dalam notanya hari ini berkata, pakej tambahan itu dijangka memberi kelegaan kepada PKS.

“Berdasarkan tinjauan ekonomi 2020, Malaysia dijangka berkembang pada pertumbuhan sederhana yang didorong oleh permintaan domestik dan ditekan oleh sektor luaran yang lemah.

“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami melihat perbelanjaan pengguna akan terus meningkat terutama dengan kedatangan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri bulan depan,” katanya.

MIDF Research berkata, di samping itu, insentif pengguna yang diumumkan dalam pakej pertama dan kedua ditetapkan untuk meningkatkan perbelanjaan domestik.

Di sisi lain katanya, selain daripada ‘PKS besar’, sektor lain kurang terkesan dan mempunyai pendedahan yang lebih tinggi terhadap permintaan domestik.

“Kembalinya permintaan domestik dijangka memberi manfaat kepada segmen PKS yang lebih kecil.

“Kami juga mendapati hubungan antara mikro, PKS dan PKS besar adalah lemah. PKS besar yang memberi tumpuan kepada perdagangan luar sangat kurang bergantung kepada PKS lain.

“Oleh itu, kami melihat PKS lain khususnya segmen mikro tidak akan terjejas dengan ketara oleh prestasi dagangan luaran yang lemah pada tahun ini,” katanya.

Berita Harian X